Kudrat 1968 tidak pernah galakkan buli – Pengarah

Kudrat 1968 tidak pernah galakkan buli – Pengarah

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Kudrat 1968: High Council, Zulaikha Zakaria menafikan naskhahnya menjadi punca punca isu buli semakin banyak berlaku di Malaysia.

Jelas Zulaikha, keganasan secara visual yang ditunjukkan dalam naskhahnya mempunyai pengajaran yang kuat terutama bagi individu yang membuli.

“Bagi saya dari awal lagi pembikinan High Council sehingga siri ini (Kudrat 1968), isu buli disekolah masih dikaitkan dengan naskhah High Council.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Secara visual ia sangat dekat dengan apa yang terjadi (buli), tapi bezanya dalam filem ini walaupun ada babak-babak keganasan saya akan pastikan watak-watak tersebut ada balasannya (pengajaran).

“Disebabkan siri ini dari drama ke filem, jadi penonton akan lihat pengajaran yang didapati daripada setiap tindakan membuli,” katanya.

Zulaikha ditemui Utusan Malaysia semasa tayangan perdana filem Kudrat 1968: High Council yang diadakan di TGV KLCC, Kuala Lumpur pada petang Isnin.

Mengulas lanjut, tegas Zulaikha naskhah arahannya menceritakan sebaliknya, iaitu impak besar yang mungkin berlaku sekiranya seseorang bertindak membuli individu lain.

Perubahan tersebut dalam dilihat menerusi watak Pa lakonan Dai Fuad.

“Setiap watak yang jahat itu impaknya sangat besar. Penonton boleh lihat apa yang terjadi dengan watak Pa. Malah daripada karakter baik boleh menjadi kasar.

“Di sini saya mahu menegaskan bahawa walaupun naskhah ini ada menunjukkan tentang gejala buli, tapi cerita High Council, Kahar dan Kudrat ada tema dan topik yang bukan mengalakkan buli.

“Buli bukan hanya berlaku di sekolah, tapi fasal hierarki. Kedudukan orang ternama, berkuasa dan orang bawahan. Banyak topik sebenarnya mahu saya ketengahkan,” katanya.

Terdahulu, naskhah bersiri Kudrat 1968: High Council mencuri tumpuan apabila dikaitkan dengan budaya buli yang semakin meruncing.

Selepas empat episod, Kudrat 1968: High Council ditutup menerusi filem yang bakal menemui penonton 29 Oktober.

Pelakon yang menjayakan naskhah ini ialah Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes, dan Akmal Asyraf. – UTUSAN

Scroll to Top