Kangar: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengumumkan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dinaik taraf menjadi Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor KUIPs bertitah, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui surat bertarikh 15 November lalu meluluskan pendaftaran KUIPs untuk dinaik taraf sebagai universiti.
“Alhamdulillah. Tahniah kepada semua dan pencapaian membanggakan ini diharap dapat meningkatkan lagi motivasi semua warga UniSIRAJ untuk bekerja dan berusaha dengan lebih keras lagi bagi menjayakan misi dan visi universiti,” titah baginda ketika berkenan berucap sempena Istiadat Konvokesyen Kali ke-7 KUIPs di Dewan 2020, di sini, hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, setiap warga universiti perlu sentiasa cermat dalam pengurusan kewangan dan beramanah dalam melaksanakan tanggungjawab serta berintegriti dalam setiap tindakan.
Titahnya, ia bagi mencapai sasaran menjadi sebuah institusi yang berdaya saing secara mandiri serta mampu berdiri megah sebagai universiti yang dihormati dan disegani.
“Kepada pelajar pula, syabas anda semua kini adalah alumni UniSIRAJ,” titah baginda.
Baginda turut bertitah menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Ahli Lembaga Pengarah (ALP), Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), pengurusan universiti, pensyarah serta seluruh warga KUIPs.
© New Straits Times Press (M) Bhd




