Kuala Lumpur: Penyedia penyelesaian hospitaliti terkemuka, Vendfun Sdn Bhd (Vendfun) mengukuhkan kedudukannya di Asia Tenggara menerusi pelantikan PT Murni Solusindo Nusantara (PT Murni) sebagai Pengedar Induk Eksklusif bagi pasaran Indonesia.
Langkah strategik ini menandakan peluasan pasaran terbesar syarikat setakat ini, sekali gus memperlihatkan komitmen Vendfun dalam menerajui transformasi digital bagi sektor hospitaliti di negara jiran itu.
Menerusi kerjasama itu, PT Murni yang berpangkalan di Jakarta akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap rangkaian pengedaran, pemasaran, pemasangan serta sokongan teknikal bagi produk Vendfun di seluruh Indonesia.
Perjanjian itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Strategi Vendfun, Daryl Lau dan Pengarah PT Murni, Anton Ng sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Vendfun, Benny Wee di Jakarta, baru-baru ini.
Kerjasama ini memfokuskan kepada pengenalan Smart Mini Kiosk (Mini S dan Mini S Pro) yang direka khusus untuk mengautomasi proses daftar masuk dan keluar bagi hotel bajet, butik, unit Airbnb serta hostel.
Lau berkata, pasaran Indonesia kini berhadapan dengan dua cabaran utama iaitu peningkatan kos tenaga kerja serta risiko penipuan di kaunter daftar masuk yang mendorong permintaan terhadap solusi automasi.
“Dengan peningkatan kes penyamaran tetamu dan penipuan kad kredit, proses daftar masuk secara manual sangat terdedah kepada risiko keselamatan, selain kos operasi yang semakin meningkat.
“Kami amat berbesar hati bekerjasama dengan PT Murni untuk menangani cabaran ini dan menjangkakan permintaan terhadap penyelesaian automasi akan menjadi lebih kukuh di sana,” katanya.
Sementara itu, Anton Ng berkata, teknologi Vendfun berupaya menjadikan sistem daftar masuk layan diri sebagai standard baharu yang lebih cekap bagi pengusaha hotel di Indonesia.
Setakat ini, Vendfun sudah memasang lebih 150 kiosk di 12 negeri di Malaysia serta memiliki kehadiran di Singapura, Australia dan Amerika Syarikat menerusi pelbagai integrasi sistem pengurusan hotel (PMS).
© New Straits Times Press (M) Bhd




