Kukuhkan sentuhan emosi serta fizikal

Kukuhkan sentuhan emosi serta fizikal

asyikin.mat@hmetro.com.my

PASANGAN yang sudah mendirikan rumah tangga puluhan tahun, sepatutnya memanfaatkan hari tua bersama-sama pada hujung usia.

Inilah waktu untuk mengukuhkan kembali kasih sayang yang pernah disulam sejak awal perkahwinan.

Namun, realitinya, tidak semua pasangan merasai kebahagiaan itu kerana ada perkahwinan dilanda badai hingga terjadi perceraian pada usia emas.

Pakar Kaunseling Keluarga, Hushim Salleh berkata, senario bercerai pada usia emas amat membimbangkan dan trend itu meningkat lima tahun kebelakangan ini.

Menurut Hushim, beliau mengendalikan purata lapan kes berkaitan masalah rumah tangga membabitkan warga emas dengan lima daripadanya berakhir dengan perceraian.

“Kebanyakannya berpunca daripada masalah komunikasi dalam kalangan suami isteri.

“Mereka lebih memberi perhatian kepada media sosial berbanding pasangan sendiri.

“Ini membuatkan pasangan berasa terpinggir, tidak diperlukan dan sepi kerana tiada sentuhan emosi serta fizikal yang menjadi tunjang sesebuah perkahwinan,” katanya.

Menurut Hushim, apabila keadaan itu berlarutan tanpa penyelesaian segera, ia memburukkan lagi masalah keretakan rumah tangga.

“Faktor seterusnya ialah rasa kasih dan sayang terhadap pasangan sudah luntur menyebabkan hubungan dingin.

“Ada yang masih kekal sebagai suami isteri tetapi hidup dalam keadaan begini (hubungan dingin) dalam tempoh lama.

“Akhirnya, mereka berpisah kerana sudah tiada jalan damai yang mampu menyelamatkan rumah tangga,” katanya.

Tambah beliau, punca yang paling kerap adalah ketiadaan rasa empati terhadap pasangan.

“Contoh, dalam konteks ini ialah tidak mengendahkan pasangan yang sedang sakit atau tidak membawanya ke hospital untuk rawatan.

“Sebaliknya, tanggungjawab itu diambil alih oleh anak sedangkan ia sepatutnya digalas oleh pasangan,” katanya.

Dalam pada itu, Hushim menyentuh mengenai kepentingan ilmu rumah tangga di usia emas bagi memperkukuh hubungan apabila usia semakin meningkat.

“Mereka perlu menambah ilmu untuk menjaga keharmonian rumah tangga. Antara perkara utama ialah menjadi pendengar yang baik.

“Apabila anak-anak sudah dewasa, mereka (anak-anak) mempunyai kehidupan sendiri, maka pasanganlah tempat untuk berkongsi cerita dan meluahkan perasaan.

“Ramai isteri yang mendapatkan khidmat kaunseling mengadu bahawa pasangan mereka tidak memberi perhatian kerana sibuk dengan hobi atau perkara lain menyebabkan pasangan terasa terabai. serta kesunyian.

“Isu kesunyian dalam kalangan warga emas adalah realiti. Tiada komunikasi, tidak menzahirkan kasih sayang, loleh menimbulkan rasa tidak dihargai dan terpinggir dalam rumah tangga sendiri,” katanya.

Menurut Hushim, pasangan yang mengalami krisis rumah tangga diminta supaya tidak berdiam diri terlalu lama sehingga bertahun-tahun.

“Sebaiknya, dapatkan bantuan awal, sama ada melalui anak-anak atau terus berjumpa pakar untuk sesi kaunseling.

“Melalui sesi kaunseling yang betul, banyak rumah tangga berjaya diselamatkan walaupun krisis sudah berlarutan dalam tempoh lama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top