georgie@hmetro.com.my
TERLALU banyak yang indah dalam intipati konsert penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Violet Skies: Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Arena Of Stars, Genting Highlands, Sabtu lalu.
Biduanita Negara itu bijak mengisi perjalanan konsertnya baik pada persembahan, corak berkomunikasi dan subjek dikongsinya. Setiap satu ada signifikan penting dan tersendiri.
Paling menggembirakan peminatnya, Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, mengumumkan bakal terbitkan album tradisional tidak lama lagi. Tentu sekali ia satu khabar mengujakan.
Mana tidak, sejak dulu karya tradisional nyanyiannya pasti akan menjadi ikonik dan disukai ramai sepanjang zaman. Justeru, dia ingin kembali kepada genre yang sememangnya cukup peribadi buatnya.
“Saya bermula dari bawah, masuk pertandingan itulah yang membuatkan saya tidak pernah rasa pada satu tahap yang selesa sebab setiap kali ada album saya rasa macam budak baru belajar.
“Insya-Allah selepas konsert ini saya akan berikan tumpuan kepada album tradisional saya akan siapkan hujung tahun ini,” katanya penuh keterujaan.
Susulan pelancaran album itu nanti, Siti juga bakal mengadakan sebuah konsert tradisional berskala besar tahun depan. Malah, dia sudah bayangkan bagaimana gahnya konsert itu nanti.
“Selepas itu saya akan buat konsert tradisional saya. Kalau nak tunggu konsert saya, Insya-Allah tahun depan, kali ini sangat ‘best’ sebab dari awal sampai habis kita buat gah,” katanya.
Lebih tiga dekad dalam industri muzik, penyanyi lagu, Nirmala itu turut menjentik emosi ramai dengan luahan ikhlasnya. Dia berdiri kukuh sehingga kini atas dasar cinta mendalam terhadap kerjaya nyanyian.
Bagaimanapun, menurutnya dia cekal bertahan kerana restu-restu yang tidak berkesudahan daripada ramai pihak. Tentu sekali antaranya adalah suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan Sitizoners.
“Rezeki saya tidak pernah putus sehingga kini kerana sokongan berterusan ramai. Restu juga antara rezeki yang memungkinkan saya mampu mencapai ke tahap sekarang. Suami memberi izin pun rezeki juga,” katanya.
Dalam pada itu, konsert Violet Skies Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Arena Of Stars mencatat kemanisan tersendiri apabila berjaya mengumpulkan 4,600 pada hari pertamanya.
Menarik sekali, bukan saja peminat tempatan, malah turut kelihatan penonton luar negara termasuk dari China yang hadir menyaksikan kehebatannya. Betapa kuatnya pesona Siti!
Bermula tepat 8.40 malam, konsert dimulakan penuh meriah dengan muzik pembuka tirai yang sangat gah. Dikemudi pengarah muzik terkenal Aubrey Suwito, barisan pemuziknya pun ramai.
Seperkara yang menjadikan konsertnya itu berbeza adalah pemilihan ‘repertoire’ bukan kebiasaan atau ‘rare’. Dia mengambil permintaan-permintaan lagu yang jarang atau tidak pernah dipersembahkan di konsert.
Berkongsi mengenai keputusan itu, Siti sendiri memang sentiasa ambil pusing mengenai kehendak mereka. Atas sebab itu jugalah dia menunaikan permintaan untuk lagu-lagu tertentu.
“Saya selalu baca komen-komen ramai yang meminta lagu itu ini. Saya tidak mahu hampakan permintaan mereka dan inilah masa saya menyanyikan lagu-lagu diminta itu,” katanya.
Penampilan Noh Salleh dan Amad Dayyan curi tumpuan
Apabila menyentuh bab artis jemputan, Siti juga memang strategik mengenai siapa dibawa bersama menggegarkan konsertnya.
Pada konsert itu, dia menampilkan Noh Salleh dan anak saudaranya, Amad Dayyan.
Ternyata momen itu bukan saja bermakna buat Siti, malah untuk Noh juga. Penyanyi Hujan itu menyifatkan ia penghormatan terbesar dan menjadi antara pencapaian tertinggi dalam karier seninya.
“Saya sebenarnya sangat terharu menerima undangan sebagai ‘guest’ untuk konsert hari ini di Arena Of Stars, pentas yang sangat berprestij. Ini adalah satu pencapaian saya yang tertinggi selama saya bermain muzik.
“Terima kasih dari ‘bottom of my heart’, ini sangat luar biasa dan tak masuk akal buat saya sebab saya di atas pentas dengan penyanyi nombor satu di Malaysia,” katanya.
Siti dan Noh menghangatkan suasana dengan tiga lagu iaitu iaitu Bengawan Solo, Rahsia Tuhan dan Pagi Yang Gelap.
Tidak kurang, Amad yang juga anak kepada Siti Saerah pula begitu memukau dengan lantunan vokal hebatnya. Dia berduet bersama Siti menerusi lagu Seribu Kemanisan dan Azimat Cinta.
Kehadiran beberapa rakan artis turut mendapat ucapan penghargaan daripada Siti. Selain Noh, dia berterima kasih kepada Aina Abdul, Nadia Brian dan Ashira Aziz.
Sebanyak 19 lagu dipersembahkannya yang mana rata-rata diberi nafas baharu dari segi susunan muzik oleh Aubrey.
Antaranya adalah Aku Cinta Padamu, Pendirianku , Beradu Di Khayalan, Seindah Biasa, Sendiri, Usah Diragui, Purnama Merindu, Bardasila, Cinta Tak Berganti, Tak Rela Berpisah Darimu, Sesal dan Bintang Malam. Sebelum menutup tirai, Siti menyampaikan medley rock menerusi lagu-lagu rock era 80-an dan 90-an, iaitu Tika dan Saat Ini, Di Alam Fana Cinta dan Seribu Tahun Takkan Mungkin.
© New Straits Times Press (M) Bhd