firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Miroslav Kuljanac memuji impak segera di bawa pemain gantian, Zhafri Yahya yang memulakan gerakan sebelum Brendan Gan meledak gol tunggal perlawanan ketika menundukkan Borneo FC Samarinda, malam tadi.
Dalam aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab Asean (ACC) yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras itu, skuad kendalian Kuljanac berjaya meraih kemenangan 1-0 ke atas kelab Indonesia itu bagi membolehkan KL City mengutip enam mata maksimum daripada dua aksi dilalui setakat ini.
Biarpun gol kemenangan itu disumbangkan oleh Brendan pada penghujung babak kedua, namun skuad The City Boys perlu berterima kasih kepada Zhafri yang memulakan gerakan itu dengan melepasi dua pertahanan lawan sebelum melorongkan bola ke arah Brendan.
Ujar Kuljanac, kemasukan pemain kebangsaan itu bersama seorang lagi tonggak, Sean Giannelli mengubah tempo perlawanan yang akhirnya memihak tuan rumah.
“Ia sudah tentu satu pertukaran yang tepat kerana saya rasakan kita perlu memasukkan pemain baru yang lebih bertenaga dan boleh berlari, di mana saya lihat Haqimi Azim mula keletihan.
“Kemasukan Zhafri menambah kekuatan pasukan dan ia menyebabkan kita meraih kemenangan.
“Zhafri mencipta gerakan itu dan akhirnya kemenangan memihak pasukan dan sejarah berjaya dilakar,” katanya pada sidang media selepas aksi itu.
Kejayaan mengutip tiga mata itu membolehkan naib juara Piala AFC 2022 itu mengekalkan rekod bersih dalam kempen ACC selepas turut mencatat kemenangan ke atas kelab Filipina, Kaya Iloilo sebelum ini.
Mengulas lanjut, jurulatih KL City dari Croatia itu akui menggunakan strategi serangan balas sebagai formula utama untuk memerangkap lawan.
“Dari awal kami sudah mengetahui kemampuan pasukan lawan. Jadi saya menekankan agar kami menunggu kesilapan mereka dan menggunakan kepantasan untuk melancarkan serangan balas.
“Ternyata ia menjadi dan saya gembira dengan keputusan ini. Kami mahu mengalih tumpuan pula kepada saingan Liga Malaysia selepas ini kerana aksi hujung minggu ini juga sukar,” katanya.
KL City bakal meneruskan aksi Liga Malaysia Ahad ini apabila dijadual menentang Penang FC di Cheras.
© New Straits Times Press (M) Bhd




