redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: ‘Penggila’ bekas plastik jenama Tupperware sanggup berhabis demi mendapatkan produk berkenaan, malah ada yang menyisihkan sehingga RM500 sebulan bagi membelinya.
Pada masa sama, ini mungkin peluang terakhir pengumpul Tupperware untuk mendapatkan produk diminati memandangkan syarikat pengeluarnya bakal menutup operasi, seterusnya menjadikan bekas plastik jenama ini sebagai rare.
Wan Norhayati Wan Mustaffa, 38, mengaku membesar dengan Tupperware memandangkan ibunya, Siah @ Wook Ismail, juga adalah pengumpul bekas plastik berkenaan.
Kata Wan Norhayati, dia mengikut jejak langkah ibunya sebagai pengumpul Tupperware sejak 12 tahun lalu.
Lantaran itu, dia yang bekerja sebagai pengurus pembangunan perniagaan di sebuah syarikat dan menetap dekat Shah Alam, Selangor sanggup membelanjakan purata RM500 sebulan bagi membeli bekas plastik baharu demi menambah koleksi.
“Sebut saja Tupperware, ada kalanya saya sebak kerana terkenangkan arwah emak. Boleh dikatakan, Tupperware ini ada nilai sentimental serta dekat dengan saya.
“Tambahan, saya memang pengumpul tegar Tupperware hinggakan anak pun tahu yang saya dan Tupperware ‘berpisah tiada’.
“Malah, saya selalu pesan kepada anak supaya menjaga serta tidak menghilangkan Tupperware yang ada,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Wan Norhayati, dia bukan saja membeli malah turut menjual Tupperware.
“Memang banyak koleksi di rumah cuma saya lebih gemar kumpul bekas plastik ungu dan merah jambu serta lebih tertarik hendak membeli jika ada keluaran jarang jumpa di pasaran.
“Bagaimanapun, sejak dua tahun lalu, sudah mula menjual Tupperware kerana ada permintaan.
“Bagaimanapun, bekas plastik yang saya rasakan amat bernilai, saya simpan sebagai koleksi peribadi,” katanya.
Seorang lagi pengumpul, Mohd Rashid Napis, 35, dari Kuala Nerus, Terengganu berkata, bukan hanya wanita malah lelaki juga mencintai bekas plastik jenama berkenaan.
“Saya bukan saja gemarkan bekas plastik jenama ini malah kehidupan saya juga banyak berubah daripada pengumpul kepada menjadi penjual.
“Saya bukan saja dapat memiliki koleksi diingini malah mampu menambah pendapatan,” katanya yang bekerja tetap sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran.
Menurutnya, arwah ibunya juga gemar mengumpul bekas plastik berkenaan manakala dia mula aktif mengumpul sejak lima tahun lalu sebelum turut menjualnya bermula pada 2021.
“Ada yang saya beli malah ada juga yang saya dapat secara percuma.
“Paling mahal yang saya beli bukan bekas plastik, tetapi penapis air yang berharga RM3,850. Ia bagi mendapat sumber air bersih berpanjangan serta kesihatan sepanjang hayat.
“Untuk bekas plastik, saya suka kumpul warna hijau mint dan sejak jadi pengumpul dan penjual, baru saya faham kenapa ramai dalam kalangan suri rumah suka kerana bekasnya pelbagai jenis serta boleh bantu selesaikan masalah mereka,” katanya.
Seorang lagi penggemar Tupperware, Safiah Aderis, 54, yang menetap di Puncak Alam, Selangor berkata, jenama itu sudah sebati dengannya sejak hampir tiga dekad lalu kerana dia bukan sekadar pengumpul, malah sebagai punca rezeki selepas turut menjualnya sepanjang tempoh itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




