Kumpulan baharu ditambah untuk vaksin fasa kedua

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Khairy Jamaluddin berkata, warga emas, golongan berisiko tinggi dengan penyakit kronik dan orang kurang upaya masih diutamakan untuk fasa kedua.

SHAH ALAM: Beberapa kumpulan baharu penerima akan ditambah untuk pemberian vaksin Covid-19 pada fasa kedua nanti yang bakal diumum pada Isnin depan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata beberapa kumpulan yang dikategorikan sebagai ‘barisan hadapan ekonomi’ dan kumpulan lain akan dimasukkan sebagai penerima vaksin fasa kedua selepas dipersetujui di peringkat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin.

Beliau berkata perkara itu dilakukan memandangkan pendaftaran untuk fasa kedua masih belum sepenuhnya mencapai sasaran maka jawatankuasa itu membuat keputusan untuk mendahulukan beberapa kategori lain.

“Tapi saya ingin tegaskan bahawa warga emas, golongan berisiko tinggi dengan penyakit kronik dan orang kurang upaya masih lagi diberi keutamaan untuk fasa kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja dan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Amirudin Shari di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.

Fasa kedua program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan berlangsung mulai April hingga Ogos 2021.

Khairy berkata kerajaan juga akan membuat penambahan jumlah pusat pemberian vaksin pada fasa kedua dan ketiga nanti supaya kadar pemberian vaksin dapat dipertingkatkan.

“Ini juga bergantung pada penghantaran vaksin dari luar negara apabila kita menerima lebih banyak jumlah dos vaksin maka kita perlu tingkatkan kadar pemberian vaksin dan memerlukan pusat pemberian vaksin yang lebih besar,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pemberian vaksin akan dipercepatkan kepada kawasan industri tertentu terutamanya kilang-kilang di Selangor yang mempunyai jumlah pekerja yang ramai.

“Kita akan senaraikan kilang-kilang dan akan bekerjasama dengan syarikat tersebut untuk melaksanakan vaksinasi di kilang atau asrama pekerja mereka agar mereka tidak perlu keluar ke pusat-pusat vaksinasi yang mana melibatkan orang awam,” katanya.

Khairy berkata Selangor adalah negeri tertinggi di negara ini yang telah membuat pendaftaran untuk menerima vaksin Covid-19.

“Dari segi ratio pendaftaran kepada populasi sasaran di peringkat kebangsaan adalah 26.9% tetapi di Selangor ia hampir 40% dan ini menunjukkan bahawa kesedaran di Selangor agak tinggi,” katanya.

Beliau berkata kerjasama dengan kerajaan negeri akan diteruskan untuk menggalakkan lebih ramai melakukan pendaftaran termasuk melakukan kunjungan rumah ke rumah dan membuka kaunter di tempat tumpuan orang ramai.

Sementara itu, Amirudin berkata setakat ini Selangor telah melaksanakan lebih 83% pemberian vaksin fasa pertama untuk dos pertama.

“Kita tinggal lebih kurang 4,000 lagi untuk penerima dos pertama dan mungkin dalam April kita dapat selesaikan untuk fasa ini,” katanya.