PADANG RENGAS – Keputusan untuk mengembalikan semula kuota Program Budi Madani kepada paras asal iaitu 300 liter sebulan masih bergantung kepada perkembangan semasa ekonomi negara biarpun perjanjian damai yang di antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) sudah dimeterai.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kerajaan akan menilai keadaan semasa terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.
Menurutnya, sekiranya keadaan ekonomi kembali stabil seperti sebelum tercetusnya konflik melibatkan Iran-AS, tidak mustahil kuota tersebut dikembalikan kepada status quo asal.
“Kerajaan akan melihat kepada kedudukan dan keadaan semasa sebelum membuat keputusan tuntas.
“Kalau keadaan kembali seperti sebelum ini, saya fikir tidak ada masalah untuk kita kembali semula kepada kedudukan status quo sebelum perang berlaku,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penghargaan Agensi-agensi Kerajaan dan Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak di sini pada Jumaat.
Muhammad Kamil berkata, kerajaan menyambut baik perkembangan tersebut kerana ia dijangka membantu menstabilkan semula harga minyak dunia dan mengurangkan tekanan terhadap ekonomi global.
Bagaimanapun katanya, proses pemulihan tidak berlaku serta-merta kerana ia turut melibatkan kos logistik, pengangkutan dan insurans yang memerlukan masa untuk kembali ke paras normal.
“Kita jangka mungkin mengambil masa antara tiga hingga enam bulan sebelum keadaan benar-benar kembali stabil.
“Walaupun perang dihentikan, kita masih perlu berhati-hati kerana sentiasa ada kemungkinan pihak tertentu melanggar perjanjian yang dicapai,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan akan terus berusaha mempelbagaikan sumber tenaga negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada kawasan yang berisiko terjejas akibat konflik.
Menurutnya, langkah itu selari dengan usaha kerajaan memperkukuhkan hubungan strategik dengan pelbagai negara termasuk Rusia bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal terjamin.
Sementara itu, Muhammad Kamil berkata, kerajaan komited memastikan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup sepanjang tempoh pemulihan ekonomi.
Katanya, antara langkah yang telah diambil ialah mengekalkan harga runcit RON95 pada kadar RM1.99 seliter sekali gus membantu mengawal inflasi dan mengurangkan kesan kenaikan harga minyak global terhadap rakyat.
Pada 15 Jun lalu media melaporkan AS dan Iran bersetuju memeterai perjanjian damai yang sekali gus menamatkan operasi ketenteraan secara serta-merta dan kekal di semua barisan hadapan termasuk Lubnan.
Perkembangan itu diumumkan oleh Pakistan yang bertindak sebagai orang tengah dalam konflik berkenaan sekali gus menandakan berakhirnya perang yang berlarutan lebih tiga bulan di Asia Barat.



