PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kuota asas Budi RON95 Madani (BUDI95) bagi warganegara Malaysia dikembalikan semula kepada 300 liter bagi setiap bulan.
Ia merupakan salah satu daripada enam ikhtiar yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan Tahun 2026.
“Belanjawan 2027 akan dibentangkan tidak lama lagi, tetapi biasanya saya akan jawab tunggu belanjawan. Tetapi nampak rakyat tidak mahu sabar dan tidak mahu menunggu kerana mereka katakan kepada menteri-menteri serta disampaikan kepada saya.
Tekanan sara hidup tak tunggu bulan Oktober, perniagaan perlu berkembang sekarang tak boleh tunggu bulan Oktober, maka di bulan Oktober ini saya terpaksalah ikhtiar mencari jalan dan mengambil langkah yang boleh melegakakn sementara.
“Ini untuk anak-anak sekolah, untuk anak muda, suri rumah dan ibu-ibu,” katanya pada Ahad
Anwar berkata, lebih 16 juta pengguna bakal menikmati RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan, manakala lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak akan menikmati BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan.
Menurutnya, peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi tahun 2027 akan ditingkatkan 50 peratus, daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.
“Semua aliran, semua kaum iaitu Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.
“Saya turut arahkan Kementerian Pendidikan untuk mengatur gerak kerja turun ke setiap daerah dan meneliti setiap permohonan pembaikan prasarana oleh sekolah. Ini bagi memastikan kerja penyelenggaraan dapat dimulakan seawal Januari 2027,” ujar beliau.
Tambah beliau, program AI untuk rakyat akan dibuka kepada anak muda Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun.
“Seramai 100,000 belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi AI terkemuka secara percuma selama tiga bulan merangkumi IlmuChat (AI tempatan), Gemini Enterprise (USA) serta Wonderclip dan MuleRun (China),” katanya lagi.
Dalam pada itu, Anwar berkata, menerusi ikhtiar keempat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menyediakan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam, meliputi pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik dan ketersambungan internet di 150 hospital serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam.
“Kelima, kerajaan bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invois sekali lagi, daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun.
“Dengan ini, perniagaan yang mencatat jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan e-Invois,” menurutnya.
Tambah Anwar lagi, kerajaan juga menambah kemudahan pembiayaan mikro RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.
“Kerajaan juga akan memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI RM200 juta untuk membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta ibu yang meniaga dari rumah,” jelas beliau.
