Kurangkan beban petugas, Johor latih 100 sukarelawan SV bantu hospital

Kurangkan beban petugas, Johor latih 100 sukarelawan SV bantu hospital

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kerajaan negeri akan memberi latihan kepada sukarelawan Southern Volunteer (SV) dan menggerakkan mereka bagi membantu mengurangkan beban petugas kesihatan di hospital utama di negeri ini untuk jangka masa pendek.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon berkata, pada fasa pertama membabitkan seramai 100 sukarelawan SV yang akan menjalani latihan dan kursus selama seminggu di hospital.

Katanya, sukarelawan itu akan membantu kerja perkeranian, pengurusan dan pendaftaran pesakit di dua hospital utama di Johor dalam masa terdekat.

“Sukarelawan SV yang diberi latihan akan membantu petugas kesihatan melakukan kerja bukan bidang perubatan. Contohnya pendaftaran dan menolak katil pesakit ke wad.

“Langkah ini dilihat dapat mengurangkan beban tugas dipikul petugas kesihatan yang berdepan isu sumber manusia pada tahap kritikal. Sementara menunggu langkah panjang termasuk penambahan kuota latihan dan penempatan petugas baru di Johor.

“Mudah-mudahan sukarelawan ini dapat mengurangkan bebanan sistem kesihatan. Kalau kita hendak memenuhi semua perjawatan, memang ramai dan memang banyak kekurangan tetapi daripada segi bantuan ia dapat mengurangkan bebanan petugas kesihatan dan mereka tidak perlu lagi hantar sampel ke makmal, tidak perlu lagi isi borang.

“Biar sukarelawan yang bantu supaya jururawat ataupun doktor kita dapat berkhidmat dan fokus kerja-kerja mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan sumbangan Mesin Echocardiogrphy kepada Unit Kardiotorasik dan Perfusi Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, hari ini.

Tian Soon berkata, ia antara langkah proaktif dipersetujui dalam Pasukan Tindakan Khas yang ditubuhkan kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pertemuan bersama Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan barisan kepimpinan Johor yang diketuai Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada minggu lalu.

Katanya, pembabitan sukarelawan akan dilaksanakan secara berjadual mengikut syif.

“Kerajaan negeri juga mempertimbang pemberian elaun sebagai tanda penghargaan, menjadikan inisiatif ini yang pertama seumpamanya dilaksana secara rasmi di hospital awam Johor.

“Pertemuan antara kerajaan negeri dan pusat pada minggu lalu sangat positif khususnya dalam perbincangan mengenai kekurangan sumber manusia di hospital selatan Johor iaitu di HSA, HSI dan Hospital Pasir Gudang (HPG) yang akan beroperasi.

“Menerusi Pasukan Tindakan Khas ini, kita akan berjumpa setiap bulan untuk berbincang perancangan pihak kementerian meningkatkan atau menambah kuota latihan kepada petugas kesihatan.

“Langkah itu akan menghasilkan lebih ramai lagi petugas kesihatan di peringkat kebangsaan dan sebahagiannya akan dihantar ke Johor,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, Johor mempunyai lebih 29,000 petugas kesihatan, namun masih berdepan kekurangan sekurang-kurangnya 4,600 pegawai merangkumi doktor pakar, pegawai perubatan, jururawat serta petugas teknikal dan sokongan.

“Johor Selatan menjadi tumpuan utama kerana kawasan ini mencatat jumlah pesakit tertinggi. Kita harap kementerian dapat beri keutamaan kepada zon ini dalam pengagihan petugas baru,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top