Kurangkan kesan hakisan dengan benteng pemecah ombak – Pakar

Kurangkan kesan hakisan dengan benteng pemecah ombak – Pakar

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Pembinaan benteng pemecah ombak adalah satu alternatif bagi mengurangkan kadar hakisan pantai di negeri ini yang berlaku setiap kali tibanya musim Monsun Timur Laut (MTL).

Timbalan Pengarah Institut Oseanografi & Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Effi Helmy Ariffin berkata, kajian menunjukkan 40 hingga 60 meter hakisan mampu berlaku sekiranya kawasan berisiko tidak dibina dengan benteng pemecah ombak.

Menurutnya, namun dengan adanya benteng pemecah ombak kadar hakisan dapat dikurangkan hanya lima meter setiap tahun.

Katanya, pasir-pasir yang dibawa ombak hingga berlaku hakisan sebenarnya akan dikembalikan dalam bentuk alami namun ia mengambil masa.

“Contohnya, tahun ini berlaku MTL hingga berlakunya hakisan yang merosakkan pelbagai kemudahan termasuk penempatan dan untuk proses pasir itu kembali secara semula jadi mengambil masa yang lama dan memerlukan satu langkah iaitu membina benteng pemecah di kawasan berkenaan.

“Justeru, apabila pembinaan benteng pemecah ombak bagi tujuan melindungi harta benda, maka secara tidak langsung pasir yang akan dihantar oleh ombak ke daratan secara semula jadi juga menjadi perlahan.

“Bagaimanapun, bagi mengurangkan impak kerosakan secara berterusan, pembinaan benteng pemecah ombak yang dilakukan kerajaan di kawasan berisiko terutama di Pantai Tok Jembal, adalah praktikal,” katanya.

Beliau berkata, antara kawasan terdedah hakisan di Terengganu antaranya di kawasan Pantai Tok Jembal hingga ke utara pantai itu.

Menurutnya, di daerah Dungun iaitu di kawasan Pantai Sura, di Kemaman di Pantai Geliga dan Besut iaitu di kawasan Kuala Besut.

Katanya, hakisan berlaku disebabkan angin yang membawa ombak besar berbanding banjir yang dibawa oleh hujan.

Katanya, bagi mengurangkan impak hakisan pembinaan benteng pemecah ombak dapat mengurangkan asakan ombak yang membadai pantai hingga mengalami hakisan teruk.

“Dalam tempoh dua hingga tiga tahun kita akan berdepan dengan dua atau tiga MTL yang membawa kepada berlakunya ombak kuat justeru ia mengakibatkan kerja-kerja pembinaan benteng pemecah ombak turut mengambil masa kerana sukar untuk dilaksanakan ketika musim seperti sekarang.

“Jadi kita dapat lihat kerja pembinaan turut tergendala dan mengambil masa untuk disiapkan,” katanya.

Beliau berkata, kesan hakisan di Terengganu dapat dilihat berlaku dari arah selatan menghala ke arah utara negeri ini sebagai contoh dari arah Pantai Tok Jembal menghala ke arah Batu Rakit.

Hadiah terakhir isteri bakal ditelan ombak

Jalan pantai di Kampung Tanjung, Batu Rakit pula runtuh akibat hakisan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top