Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan dua program pembiayaan khas berjumlah RM80 juta bagi memperkukuh akses pembiayaan kepada usahawan mikro di seluruh negara sempena Ramadan dan Tahun Baharu Cina.
KUSKOP perkenal BARAKAT, BERKAT!
Menurut menterinya Steven Sim Chee Keong, program itu dilaksanakan melalui TEKUN Nasional dan SME Corp. Malaysia sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menyokong keperluan modal pusingan usahawan mikro, khususnya menjelang musim perayaan utama.
“KUSKOP komited untuk memastikan usahawan mikro mempunyai akses kepada pembiayaan yang mudah, bersasar dan mampu milik bagi menyokong kelangsungan serta pertumbuhan perniagaan mereka,” katanya pada sidang media pengumuman dua skim itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Adam Abd Ghani serta Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy.
Sim berkata, program pembiayaan berkenaan merangkumi Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) berjumlah RM50 juta yang disediakan oleh TEKUN Nasional sempena kehadiran bulan Ramadan, dan Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (BERKAT) bernilai RM30 juta yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Artikel lain: Majlis Amanat Menteri 2026: Steven Sim seru warga KUSKOP ‘Hebatkan Perniagaan Malaysia’
Ujarnya, pelaksanaan kedua-dua program tersebut juga selari dengan strategi produktiviti (A), birokrasi dipermudah (B), capaian modal (C) dan daya akses pasaran (D) yang diperkenalkan kementerian itu dalam memastikan usahawan mikro mendapat capaian akses modal secara lebih menyeluruh dan efisien.
“Pendekatan ini bertujuan membantu usahawan mikro membuat persediaan perniagaan yang lebih rapi bagi memenuhi permintaan pasaran sepanjang Ramadan dan musim perayaan,” ujarnya.

Sementara itu, Sim menjelaskan di bawah skim BARAKAT, TEKUN Nasional menawarkan pembiayaan sehingga RM30,000 dengan kadar keuntungan tiga peratus setahun serta tempoh pembiayaan sehingga 12 bulan.
Manakala Program BERKAT yang diuruskan oleh SME Corp. Malaysia pula menawarkan pembiayaan sehingga RM30,000 dengan kadar keuntungan tiga peratus setahun.




