Kuskop sasar capai potensi jualan RM50 juta di Gulfood 2024

Kuskop sasar capai potensi jualan RM50 juta di Gulfood 2024

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menjangkakan potensi jualan usahawan pada Pameran Perdagangan Antarabangsa Gulfood 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu mencapai sekurang-kurangnya RM50 juta.

Pameran perdagangan yang berlangsung dari 19 hingga 23 Februari 2024 di Dubai World Trade Centre telah diketuai oleh Datuk Seri Suriani Ahmad, Ketua Setiausaha Kuskop dan disertai oleh 11 usahawan halal dan 10 usahawan francais pelbagai sektor.

Suriani berharap penyertaan kali ke tiga Kuskop di Gulfood 2024 akan membuka peluang perniagaan yang lebih luas bagi usahawan tempatan terutamanya dalam sektor halal di pasaran global.

Pasaran halal global yang dijangka mencapai AS$9 trilion menjelang tahun 2030.

Semasa program ini, beliau juga menyaksikan dua sesi pertukaran Memorandum Persefahaman di antara syarikat pembekal makanan sejuk beku halal, Tishas Food Manufacturing Sdn. Bhd. dengan Happy Market Trading Co. Pte. Ltd Maldives dan pengeluar pes cili halal, Syilis Food Manufacturing Sdn. Bhd. dengan Imperia Asia F&B Trading Co. L.L.C Malaysia berpangkalan di UAE.

Kedua-dua syarikat berkenaan adalah di bawah bimbingan Kuskop dan sentiasa bergiat cergas di arena antarabangsa.

Suriani juga berpeluang untuk bertemu dengan rakan sejawat daripada Kementerian Ekonomi, UAE, Department of Economy and Tourism Dubai dan Abu Dhabi Department of Economic Development untuk membincangkan peluang kerjasama di antara usahawan kedua-dua negara dalam sektor halal.

Penyertaan di Gulfood 2024 merupakan hasil kerjasama antara Kuskop, Matrade, SME Bank, SME Corp. Malaysia, dan Pernas dan beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan. – MalaysiaGazette