KUSKOP, TNB perkukuh kerjasama bantu PMKS hadapi impak krisis tenaga global

KUSKOP, TNB perkukuh kerjasama bantu PMKS hadapi impak krisis tenaga global

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang meneroka kerjasama strategik bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengurangkan tekanan kos operasi yang semakin meningkat, selain mempercepat peralihan kepada tenaga lebih mampan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, pendekatan bersepadu antara pengurusan kos dan peralihan tenaga penting bagi memastikan daya tahan PMKS.

“Dengan menggabungkan usaha pengurusan kos dan peluang peralihan tenaga, kita mahu memastikan PMKS Malaysia kekal berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia untuk berkembang ke pasaran baharu,” katanya dalam kenyataan.

Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara Sim bersama pengurusan tertinggi TNB yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad.

Sim berkata, KUSKOP akan terus bekerjasama rapat dengan TNB bagi meneroka insentif bersasar serta memperluaskan kesedaran dalam kalangan usahawan mengenai manfaat kecekapan tenaga dan tenaga boleh baharu.

Kerjasama ini sejajar dengan agenda KUSKOP untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan negara melalui strategi ABCD iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran.

Menurut KUSKOP, perbincangan memberi fokus kepada langkah praktikal untuk membantu PMKS mengurus kos operasi dengan lebih cekap, menambah baik aliran tunai serta menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu (RE).

Pertemuan itu turut berlangsung susulan tekanan kos tenaga global yang memberi kesan kepada operasi perniagaan, khususnya PMKS yang beroperasi dengan margin lebih kecil dan terdedah kepada peningkatan kos elektrik serta operasi harian.

Antara cadangan kerjasama dibincangkan termasuk penyelarasan insentif atau struktur tarif lebih bersesuaian untuk PMKS melalui SME Corp Malaysia, selain peluasan penggunaan skim Time-of-Use (ToU) bagi membantu perniagaan mengoptimumkan penggunaan elektrik.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk memperkukuh agenda peralihan tenaga termasuk memperluas akses pemasangan solar kepada PMKS melalui model pembiayaan fleksibel seperti zero capex, selaras dengan agenda Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Dalam aspek pembangunan kapasiti, KUSKOP akan bekerjasama melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bagi memperluaskan latihan kepada usahawan, khususnya dalam pengurusan kewangan, pengembangan perniagaan serta strategi penskalaan.

Selain itu, untuk jangka panjang, KUSKOP turut menyasarkan penyertaan lebih besar PMKS dalam ekosistem tenaga baharu termasuk sektor solar, kenderaan elektrik (EV), pusat data dan teknologi tenaga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top