Kutip dana makan malam amal demi Palestin di Gaza

Kutip dana makan malam amal demi Palestin di Gaza

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiada tanda kezaliman Israel terhadap dua juta penduduk Palestin di Tebing Gaza bakal berakhir selepas hampir setahun berlalu.

Susulan itu pertubuhan Muslim Care Malaysia Society (MCM) bakal menganjurkan Majlis Makan Malam Amal bagi memperingati Perjuangan 365 hari Taufan Al-Aqsa di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor, Ahad ini.

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, majlis itu diadakan bagi mengumpulkan dana yang akan disalurkan terus kepada penduduk Palestin di Gaza.

Menurutnya, Misi Bantuan Kemanusiaan Peperangan Taufan Al-Aqsa anjuran MCM adalah misi bantuan kecemasan dilaksanakan sejak serangan Israel bermula 10 Oktober 2023.

“Peperangan ini terus berlarutan sehingga hari ini dan genap 365 hari (setahun) pada 7 Oktober 2024 ini.

“Muslim Care Malaysia terus menyalurkan sumbangan kebajikan dan makanan, perubatan dan pendidikan kepada mangsa perang melalui usaha dan gerak kerja diketuai Pengerusi Muslim Care Malaysia-Palestin Abu Ayesh An-Najjar yang berpusat di Khan Younis, Gaza.

“Melalui majlis makan malam ini, sebahagian besar sumbangan akan disalurkan bagi tujuan kebajikan membabitkan susu, penyaluran air bersih, penyediaan makanan panas, tempat tinggal, dan sistem tenaga solar bagi penduduk Gaza.

“Selain itu MCM akan meneruskan rancangan untuk membangunkan semula Bandar Gaza selepas peperangan ini berakhir kelak. Usaha ini adalah tanda keprihatinan sesama umat Islam dari seluruh Malaysia yang tidak putus ingin menyemai pahala dan membantu rakyat Palestin,” katanya.

Sementara itu penaung majlis itu Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri berkata, konflik Israel-Palestin adalah konflik terpanjang masih berlangsung di dunia.

“Sepanjang 365 hari lalu, konflik itu semakin meruncing. Apa yang berlaku bukannya perang antara Israel dengan Palestin, tapi pembunuhan beramai-ramai tentera Zionis ke atas penduduk Palestin khususnya di Gaza.

“Kematian direkodkan setakat ini menjangkau angka 41,000 mangsa dan ratusan ribu lagi cedera.

“Hakikatnya, jumlah angka itu jauh lebih besar kerana ada ribuan lagi yang hilang atau jasad terbenam di dalam tanah dan gagal dikeluarkan. Bukanlah insan yang normal jika naluri kemanusiaan kita tidak tersentuh dengan apa yang berlaku.

“Rosak dan cacatlah hati dan perasaan kita jika tiada usaha yang kita buat supaya kekejaman ini berakhir,” katanya.

Difahamkan Majlis Makan Malam Amal bagi memperingati Perjuangan 365 hari Taufan Al-Aqsa turut akan menyelitkan acara Munajat Aqsa, pelancaran dua buku tulisan Dr Zulkifli, persembahan nasyid kumpulan Hijjaz serta penyerahan wakaf susu dan air Palestin.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai program ini boleh menempah slot atau menghubungi Najwa ditalian 018 3805877, Zuriati di talian 019 2049434 atau Alwani di talian 011 5335 0876.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top