am@hmetro.com.my
Nilai: Berkat kesungguhan melaksanakan kitar semula bahan terbuang di kawasan perumahannya, seorang warga emas berjaya mengumpul dana untuk pembedahan mata kirinya.
Menerusi program KitaRecycle di bawah SWM Environment, sehingga kini Jaafar Idrus, 74, berjaya menebus sebanyak RM8,000 daripada mata ganjarannya.
Pesara MARDI itu berkata, dia yang sudah terbiasa bekerja sejak muda tidak boleh duduk dan berehat sahaja di rumah dan memilih untuk mengisi masa lapang dengan hobi baharunya itu sejak 2021.
Bagaimanapun katanya, kira-kira dua tahun lalu mata kirinya mengalami gejala katarak yang menyebabkan penglihatannya semakin kabur sebelum membuat pemeriksaan.
“Makin lama mata saya makin kabur sehingga berbahaya sekiranya saya memandu kereta lebih-lebih lagi pada waktu malam. Saya pergi buat pemeriksaan dan doktor maklumkan mata saya alami masalah katarak.
“Doktor juga sarankan saya supaya melakukan pembedahan mata dengan segera. Pada 9 Januari lalu saya jalani pembedahan di Hospital Universiti Putra Malaysia.
“Saya hanya perlu tanggung kos kanta kerana ia perlu ditukar sebanyak RM1,300 menggunakan duit daripada tebus mata ganjara kitar semula ini,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Jaafar berkata, kos pembedahan tidak mencecah ribuan ringgit yang memerlukannya mengeluarkan wang simpanan, namun dia berpuas hati kerana ada sesuatu yang dia dapat manfaatkan hasil daripada kitar semula.
“Alhamdulillah, berkat mengumpul ‘sampah’ saya berjaya kumpul duit untuk tampung proses tukar kanta mata saya. Tak perlu keluarkan duit simpanan,” katanya.
Menceritakan minatnya untuk melakukan aktiviti kitar semula, Jaafar berkata, dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti kitar semula sejak 2021 selepas program itu dilancarkan di taman perumahannya, di Taman Mulia Lagenda, Nilai.
“Selain kumpul barang terbuang di rumah sendiri, ada juga penduduk yang panggil saya supaya ambil barang terbuang di rumah mereka untuk dikitar semula.
“Saya juga kumpul bahan terbuang seperti kotak, botol plastik dan tin yang masih bersih jika terjumpa di luar seperti belakang kedai atau tepi jalan sebelum dibawa balik.
“Saya juga galakkan anak cucu supaya amalkan kitar semula dan ada antara mereka yang menunjukkan minat. Patut ajar generasi sekarang supaya cinta alam sekitar sejak kecil,” katanya.
Jaafar yang kerap dinobatkan sebagai pemenang dalam beberapa pertandingan kitar semula di pelbagai peringkat menasihati orang awam supaya menanam minat untuk asingkan sampah dan amalkan kitar semula.
© New Straits Times Press (M) Bhd




