am@hmetro.com.my
Shah Alam: Selangor mencatat kutipan hasil lebih RM2.7 billion setakat ini, melepasi sasaran awal tahun ini iaitu RM2.3 billion.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, prestasi cemerlang melepasi sasaran itu hasil kerja tersusun yang digerakkan keseluruhan pasukan di peringkat negeri.
“Alhamdulillah, kita telah melepasi sasaran kita iaitu RM2.3 bilion. Dalam belanjawan hari itu saya sebut kita boleh sampai RM2.7 bilion, hari ini kita dah lepas pun.
“Jadi kita tunggulah berapa hari sampai 31 Disember nanti kalau dapat hasil yang lebih baik. Kita dah pasti lebih daripada RM2.7 bilion, tapi saya tak nak sebutlah angka dia sebab ada lagi bayaran-bayaran yang sedang ditunggu untuk urusan tanah.
“Kita dapat kurangkan defisit. Tahun ini belanjawan kita RM3 bilion dan defisit kita lebih kurang RM400 juta, tapi apabila kita dapat RM2.7 bilion, defisit kita sudah kurang menjadi RM300 juta,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Kepada Masjid Dan Surau Selangor di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Terdahulu, sebanyak 20 masjid dan surau di Selangor menerima sumbangan berjumlah RM2.47 juta bagi pelaksanaan kerja pembangunan dan penyelenggaraan rumah ibadat umat Islam itu.
Amirudin berkata, peruntukan menerusi Kumpulan Wang Amanah Bantuan Dana Pembinaan dan Penyelenggaraan Masjid dan Institusi Islam Selangor disalurkan kepada 11 masjid dan sembilan surau.
“Peruntukan besar ini adalah komitmen berterusan kerajaan negeri bagi memastikan keselesaan jemaah dan kelestarian fungsi masjid dan surau kita.
“Dana ini akan disalurkan untuk membiayai pelbagai keperluan mendesak, termasuk kerja pembaikan struktur bangunan, penaiktarafan kemudahan sedia ada, seperti sistem siar raya, pendingin hawa dan tempat wuduk.
“Selain itu, kerja selenggara rutin yang kritikal untuk memastikan persekitaran bersih dan selamat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




