KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mencatatkan kutipan zakat sebanyak RM491 juta bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, kadar kutipan itu merupakan peningkatan sebanyak 13.07 peratus daripada RM434 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, peningkatan itu didorong oleh sokongan berterusan para majikan yang menjadi rakan strategik utama dalam memperkasakan pembayaran zakat secara konsisten terutama melalui potongan zakat bulanan (PZB).
“Selain peningkatan kutipan, bilangan pembayar zakat melalui PZB turut meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada 137,797 orang berbanding 132,047 orang pada tahun lalu.
“Setakat Oktober ini, sebanyak 362 majikan baharu turut memilih PPZ-MAIWP sebagai saluran pembayaran zakat,” katanya berucap dalam Majlis Mesra Kebajikan di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengurus Kanan Syariah dan Antarabangsa PPZ-MAIWP, Ahmad Husni Abdul Rahman.
Abdul Hakim berkata, inisiatif potongan gaji merupakan mekanisme paling efektif dalam memastikan kutipan zakat berterusan bagi memenuhi keperluan asnaf di Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, usaha itu menyumbang sekitar 57 peratus daripada keseluruhan kutipan zakat, dan pihaknya masih menyasarkan peningkatan lebih tinggi bagi 34,000 asnaf yang memerlukan bantuan bulanan berjumlah kira-kira RM100 juta sebulan.
“Tahun lalu, jumlah agihan zakat mencecah RM1.18 bilion, namun kutipan hanya RM1.035 bilion. Keutamaan kini ialah memastikan lebih ramai warga kerja di Wilayah Persekutuan menunaikan zakat di kawasan mereka bekerja bagi mengelakkan kebocoran kutipan zakat ke negeri lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memperkenalkan Program Kafalah @ Majikan, inisiatif baharu yang menawarkan sumbangan khairat kematian sehingga RM3,000 kepada waris kakitangan sekiranya berlaku kematian dalam kalangan pekerja syarikat yang berdaftar.
“Majikan memainkan peranan sebagai jambatan penting untuk mempercepatkan penyaluran bantuan kepada waris. Skim ini membantu meringankan beban keluarga terutama apabila kehilangan ketua keluarga,” katanya.
Katanya, PPZ-MAIWP komited memastikan setiap wang kutipan zakat dimanfaatkan secara optimum kepada golongan asnaf yang layak.-UTUSAN




