Ankara: Bekas penyerang Liverpool, Dirk Kuyt dilantik sebagai pengendali sementara Fenerbahce sehingga rehat antarabangsa seterusnya, sekali gus bakal mengemudi pasukan itu ketika menerima kunjungan bekas kelabnya dalam saingan Liga Juara-Juara minggu depan.
Kelab Turki itu mengumumkan keputusan berkenaan selepas lembaga pengarah bersetuju memberikan tanggungjawab mengendalikan pasukan utama kepada Kuyt secara interim sementara proses mencari ketua jurulatih tetap dijalankan.
“Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh lembaga pengarah akan menjalankan tugas melantik ketua jurulatih baharu dan proses itu akan dipercepatkan,” menurut kenyataan Fenerbahce.
Kuyt, 46, mengambil alih tugas berkenaan daripada Ismail Kartal yang meletakkan jawatan susulan kekalahan 1-2 kepada Galatasaray dalam aksi derby, Isnin lalu.
Bekas pemain antarabangsa Belanda itu mempunyai pengalaman luas bersama Liverpool apabila beraksi selama enam musim dari 2006 hingga 2012 sebelum menyertai Fenerbahce.
Sepanjang bersama kelab Turki itu, Kuyt turut membantu pasukan berkenaan menjulang gelaran Liga Turki pada 2014.
Pelantikan sementara itu menyaksikan Kuyt berpeluang mengemudi Fenerbahce dalam pertemuan menentang bekas kelabnya, Liverpool, di Istanbul pada aksi Liga Juara-Juara minggu depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




