Kuzi ayam tetap dicari Ezzanie

Kuzi ayam tetap dicari Ezzanie

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kehadiran Aidilfitri kali ini membawa 1,001 makna buat pelakon cantik berbakat besar yang meniti populariti menerusi drama Dia Bukan Syurga, Ezzanie Jasny.

Peminat yang mengikuti perkembangannya pasti tahu Ezzanie atau nama sebenarnya, Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 27, sebelum ini mengalami kemalangan jalan raya sehingga dimasukkan ke wad untuk rawatan.

Pada masa sama, ketenangannya terusik dengan gangguan individu tidak bertanggungjawab melalui akaun palsu di media sosial.

“Saya bersyukur selepas berehat untuk rawatan, kesihatan saya semakin okey. Keadaan fizikal pun perlahan-lahan kembali pulih, sekali gus buatkan saya lega.

“Saya kini sudah kembali ke set penggambaran dengan semangat baharu. Bagaimanapun, saya masih berhati-hati dalam memilih naskhah.

“Buat masa ini, proses menghafal skrip berjalan lancar kerana saya hanya mengambil watak yang lebih ringan dan tidak terlalu berat. Cerita yang senang-senang sahaja” katanya.

Bercerita berkenaan gangguan yang dihadapi, Ezzanie berkata, ia bukan sekadar kecaman, malah melarat sehingga ke tahap ugutan yang melampau.

“Ugutan ini membabitkan keselamatan ahli keluarga, pembantu peribadi dan rakan terdekat. Ini bukan perkara yang boleh dipandang ringan.

“Ia sangat mengganggu kehidupan peribadi dan memberi tekanan yang besar kepada saya. Lebih mengejutkan, ugutan ini turut menyentuh perkara berunsur mistik apabila individu ini mengugut untuk menghantar sihir.

“Ia diterima pada waktu yang sangat hampir dengan kejadian kemalangan ini. Saya terima ugutan jam 3 petang manakala kemalangan berlaku pada jam 3.30 petang,” katanya.

Enggan membiarkan perkara itu terus menghantui hidupnya, Ezzanie akhirnya membawa isu ini ke pengetahuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.

“Sebenarnya benda (ugutan) ini sudah sampai ke MCMC dan saya rasa mereka dah buat kerja mereka. Alhamdulillah… orang itu pun sudah senyapkan diri.

“Saya tak pasti, namun Alhamdulillah kalau dia senyapkan diri, itu baguslah sebab benda macam ini tak patut pun. Tapi bila tengok balik, ada orang lain juga yang kena, artis lain pun kena juga.

“Saya tak cakaplah benda ini macam sesuatu yang normal. Mungkin ‘cybertrooper’ ini menormalisasikan benda-benda begini. Tapi saya harap tak kenalah dekat orang-orang lain,” katanya.

Pilih beraya di Kelantan

Apapun yang berlaku pada dirinya, Ezzaniey tidak melupakan tradisi balik kampung setiap kali sambutan Aidilfitri.

“Tahun ini saya raya jauh…di Kelantan. Insya-Allah seminggu sebelum (1 Syawal) saya akan berada di sana. Saya juga tak nak fikir pasal kesesakan jalan raya.

“Saya nak balik Kelantan tapi tak nak memandu. Saya takkan memandu balik Kelantan sebab pernah kena (memandu) 18 jam di atas jalan yang sesak teruk. Saya memang serik dah.

“Kalau ditanya apa yang seronok di sana, tentulah keluarga sebab saya hanya ada mereka. Ayah orang Kedah, mak Kelantan. Keluarga sebelah Kedah sudah tak ada,” katanya.

Katanya, dia dikira cucu yang paling tua di kalangan sepupu-sepupunya dan tinggal berjauhan di Kuala Lumpur.

“Yang lain tinggal di sana. Jadi sangat terujalah kalau balik Kelantan sebab memang seronok nak jumpa mereka. Dapat berbual macam-macam perkara.

“Makanan yang paling saya suka tentunya kuzi ayam yang dimakan dengan roti jala. Itu satu-satunya kegemaran saya sebab di Kuala Lumpur jarang jumpa.

“Tak ada pun orang buat kan? Jadi balik kampung saya memang akan ‘look forward’ untuk kuzi, roti jala. Saya yang akan ‘request’,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top