KWSP: 158,000 suami sertai program i-Sayang setakat Ogos tahun ini

KWSP: 158,000 suami sertai program i-Sayang setakat Ogos tahun ini

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kira-kira 158,000 golongan suami menyertai program i-Sayang sejak diperkenalkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Mac 2023.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, jumlah berkenaan melibatkan pindahan caruman sebanyak RM309.4 juta setakat Ogos lalu.

“Program i-Sayang membolehkan suami memperuntukkan dua peratus daripada caruman KWSP bulanan (syer pekerja) secara sukarela ke akaun KWSP isteri, menunjukkan sambutan menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.

Anwar menjawab soalan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bebas-Bukit Gantang) yang meminta beliau menyatakan perancangan Kerajaan menggalakkan warganegara Malaysia membuka akaun KWSP, menerima dividen tahunan yang tinggi dan manfaat berganda seperti mana program i-Suri yang dilaksanakan pada tahun 2022, dengan caruman RM60, Kerajaan akan menyumbang RM480.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Perdana Menteri memaklumkan, pelbagai langkah dan inisiatif sudah, sedang dan akan dilaksanakan bagi menggalakkan rakyat Malaysia yang mempunyai akaun KWSP untuk mencukupkan simpanan persaraan mereka.

Jelas beliau, usaha-usaha ini merangkumi insentif caruman padanan oleh Kerajaan, perluasan skim caruman sukarela kepada golongan bekerja sendiri dan tidak formal, serta langkah-langkah memperkukuh kesedaran awam mengenai kepentingan simpanan hari tua.

“Ini termasuk menaikkan insentif padanan i-Saraan daripada 15 peratus kepada 20 peratus mulai 1 Januari 2025, dengan had maksimum RM500 setahun dan RM5,000 seumur hidup.

“Penambahbaikan ini meningkatkan jumlah caruman kepada RM2.8 bilion daripada 487,375 ahli pada separuh pertama 2025, naik 74 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata, setakat Ogos lalu, seramai 1.12 juta ahli KWSP membuat caruman secara sukarela dengan jumlah caruman sebanyak RM14.13 bilion.

“Di samping itu, kadar insentif padanan Kerajaan bagi program i-Suri sebanyak 50 peratus daripada jumlah caruman tahunan dilanjutkan pada tahun 2025.

“Inisiatif ini adalah tertakluk kepada had maksimum insentif padanan Kerajaan sebanyak RM300 setahun dan RM3,000 untuk seumur hidup kepada suri rumah di bawah umur 55 tahun yang berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top