KWSP beli lebih 40 juta saham Sunway Berhad

KWSP beli lebih 40 juta saham Sunway Berhad

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan terus menambah pegangan sahamnya dalam Sunway Berhad selepas syarikat itu mengumumkan tawaran pengambilalihan bersyarat bernilai RM11 bilion terhadap IJM Corporation Berhad.

Berdasarkan pemfailan Bursa Malaysia, KWSP mengumpul 44.15 juta saham Sunway dalam tempoh kurang sebulan antara 13 Januari hingga 11 Februari sekali gus meneruskan pengumpulan berterusan yang bermula sejak hujung tahun lalu.

Sejak awal tahun ini, KWSP telah menambah 64.07 juta saham dengan lebih separuh diperoleh selepas Sunway secara rasmi mengumumkan tawaran pengambilalihan IJM pada 12 Januari.

Berikutnya, pada 13 Januari, KWSP membeli lebih 10 juta saham, pembelian sehari terbesar bagi saham Sunway setakat tahun ini. Kaunter itu ditutup setengah sen, atau 0.89 peratus kepada RM5.65 pada hari tersebut.

Daripada 22.3 juta saham yang diniagakan, hampir separuh dikaitkan dengan KWSP sekali gus melonjakkan jumlah dagangan kaunter itu ke paras tertinggi dalam hampir dua bulan.

Untuk rekod, KWSP memulakan 2026 dengan pegangan 8.59 peratus dalam Sunway bersamaan 580.5 juta saham dan sehingga 11 Februari, menurut tarikh transaksi terkini yang didedahkan, pegangan sahamnya meningkat kepada 9.54 peratus atau 644.61 juta saham.

Berdasarkan data Bursa Marketplace, pegangan yang diperbesar itu bernilai kira-kira RM3.65 bilion dan KWSP merupakan pemegang saham institusi ketiga terbesar dalam konglomerat pelbagai sektor itu.

Saham Sunway terakhir diniagakan pada RM5.77 menjadikan nilai syarikat tersebut sekitar RM39 bilion dan dilaporkan saham itu meningkat kira-kira dua peratus sejak awal tahun ini.

Sementara itu, pemegang saham terbesar Sunway kekal diterajui Sungei Way Corp Sdn Bhd dan Jef-San Enterprise Sdn Bhd masing-masing memegang 46.89 peratus dan 9.43 peratus saham.

Kedua-duanya dimiliki Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dan keluarga.

Secara berasingan, pemfailan menunjukkan KWSP turut meningkatkan pegangan dalam IJM daripada 18.43 peratus kepada 20.48 peratus dengan memperoleh 71.84 juta saham selepas pengumuman pengambilalihan.

Susulan itu, pelbagai firma penyelidikan memberi pandangan berbeza terhadap tawaran tersebut.

Hong Leong Investment Bank Bhd dan MBSB Research mengesyorkan pemegang saham menerima tawaran Sunway dengan alasan penilaian yang adil dan potensi manfaat strategik daripada penggabungan.

Bagaimanapun, Kenanga Research menasihatkan pelabur menolak tawaran itu dengan menyatakan harga yang ditawarkan tidak mencerminkan nilai sebenar IJM.

Pemegang saham IJM mempunyai tempoh sehingga 6 April untuk membuat keputusan berhubung tawaran berkenaan manakala pengambilalihan dijangka dimuktamadkan menjelang suku ketiga 2026, tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan pemenuhan syarat.

Ringkasan AI

  • KWSP terus menambah pegangan sahamnya dalam Sunway Berhad pasca pengumuman pengambilalihan IJM berharga RM11 bilion
  • KWSP mengumpul 44.15 juta saham Sunway dalam satu bulan setelah pengumuman tawaran pengambilalihan
  • Pegangan KWSP dalam Sunway meningkat dari 8.59% menjadi 9.54% sejak awal tahun
  • Pegangan saham KWSP dalam Sunway bernilai kira-kira RM3.65 bilion menjadikan mereka pemegang saham institusi ketiga terbesar
  • KWSP juga meningkatkan pegangan sahamnya dalam IJM dari 18.43% ke 20.48% selepas pengumuman pengambilalihan
Scroll to Top