KWSP catat jumlah pelaburan RM18.31 bilion bagi suku pertama 2025

KWSP catat jumlah pelaburan RM18.31 bilion bagi suku pertama 2025

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM18.31 bilion untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2025, turun 13 peratus berbanding RM20.99 bilion yang dicatatkan untuk suku yang sama pada 2024.

Ia berkata, jumlah pendapatan pelaburan ini termasuk keuntungan mark-to-market sekuriti sebanyak RM1.02 bilion yang belum direalisasikan, kebanyakannya disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran asing.

Selaras dengan polisi KWSP, keuntungan ini tidak akan diagihkan sebagai dividen.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pasaran global menjadi tidak menentu pada awal tahun 2025 berikutan ketegangan perdagangan yang kembali memuncak dan ketidaktentuan dasar.

Ketidaktentuan mengenai dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) telah mula memberi kesan kepada pasaran saham utama sepanjang suku walaupun pengumuman tarif dibuat oleh pentadbiran AS pada 2 April, kata beliau.

“Walaupun tekanan inflasi semakin menurun di beberapa ekonomi, pelonggaran dasar monetari mengikut rantau adalah berbeza pada kadar dan masa, sekali gus menjejaskan tahap penerimaan risiko.

“Portfolio global KWSP yang pelbagai telah mengurangkan impak tersebut dan memastikan ia terus berada di landasan yang tepat untuk mencipta nilai jangka panjang,” kata Ahmad Zulqarnain dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sepanjang suku dalam tinjauan, ekuiti menyumbang sebanyak RM10.81 bilion, susut 23 peratus

daripada RM14.02 bilion yang dicatatkan pada suku pertama 2024.

Penurunan ini adalah disebabkan oleh prestasi yang lebih lemah di pasaran ekuiti global dan persekitaran pelaburan yang mencabar.

Menurut KWSP, ekuiti terus menjadi penyumbang terbesar, merangkumi 59 peratus daripada

jumlah pendapatan pelaburan, sementara instrumen pendapatan tetap terus menjadi tonggak pemeliharaan modal, menyumbang sebanyak RM5.99 bilion atau 33 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Instrumen pendapatan tetap, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan bon sama taraf, kekal memenuhi dua mandatnya iaitu memberikan pulangan yang stabil dan mengimbangkan turun naik pasaran ekuiti.

Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.08 bilion pada suku pertama 2025, manakala pasaran wang menjana sebanyak RM0.43 bilion, selaras dengan jangkaan pulangan untuk kelas aset ini.

Daripada jumlah pendapatan pelaburan, sebanyak RM15.87 bilion telah dijana untuk simpanan konvensional, manakala RM2.44 bilion untuk simpanan shariah.

Sehingga Mac 2025, jumlah aset pelaburan KWSP telah mencecah RM1.26 trilion, dengan

38 peratus daripadanya dilaburkan di luar negara. Sepanjang tempoh tersebut, pelaburan luar negara telah menjana RM8 bilion atau 44 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Pelaburan domestik, yang merangkumi 62 peratus daripada jumlah aset, terus memberikan kestabilan pendapatan jangka panjang melalui dividen, faedah dan keuntungan daripada sukuk, kata KWSP.

Ia berkata KWSP juga kekal komited untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan terus melabur lebih 70 peratus daripada peruntukan tahunannya dalam pasaran domestik.

Sementara itu, Ahmad Zulqarnain berkata, semakan penurunan dalam unjuran pertumbuhan global dan

serantau, termasuk Malaysia, mencerminkan risiko luaran yang semakin meningkat di samping dinamik perdagangan global yang berubah.

“Dalam persekitaran pasaran yang lebih mencabar dan tidak menentu, KWSP mengekalkan portfolio yang dinamik dan pelbagai bagi melindungi nilai dan mengurus risiko penurunan. Kami terus giat meneroka peluang pelaburan di pasaran serantau dan antarabangsa untuk mengukuhkan portfolio dan menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang untuk ahli,” kata beliau.

Dalam tempoh yang dikaji, KWSP telah mendaftarkan 140,111 ahli baharu, menjadikan jumlah keseluruhan keahlian meningkat kepada 16.3 juta. Daripada jumlah ini, 8.88 juta adalah ahli aktif, mewakili 51.3 peratus daripada 17.31 juta tenaga buruh.

Nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kekal stabil pada 54:46 pada suku pertama 2025.

Pendaftaran majikan baharu mencecah 19,600 pada suku pertama 2025, menjadikan jumlah keseluruhan majikan aktif berdaftar dengan KWSP meningkat kepada 616,558.

Jumlah caruman meningkat sebanyak 15.1 peratus kepada RM33.54 bilion, berbanding RM29.13 bilion

pada suku pertama 2024, manakala jumlah caruman sukarela meningkat sebanyak 62 peratus kepada

RM7.02 bilion, berbanding RM4.33 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

KWSP berkata, bilangan ahli formal yang mencarum melebihi kadar berkanun adalah sebanyak 10,990 pada suku pertama 2025, berbanding 6,771 dalam tempoh yang sama tahun lepas. – Bernama

Scroll to Top