KWSP galak belia daftar sebagai pencarum seawal 14 tahun

KWSP galak belia daftar sebagai pencarum seawal 14 tahun

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) menggalakkan golongan pelajar seawal usia 14 tahun mendaftar sebagai pencarum.

Langkah terbabit dilihat sebagai persediaan kepada belia menyediakan simpanan di usia persaraan.

Ketua KWSP Kota Kinabalu, Sabarudin @ Sabree Hassan berkata, pendekatan sama juga adalah sebagai latihan buat orang muda khususnya remaja meningkatkan budaya menabung.

“Ini adalah permulaan untuk mereka mendalami dan mengetahui kesedaran berkaitan kewangan.

“Bagaimanapun, usaha ini memerlukan bantuan ibu bapa agar memulakan langkah pertama dengan mendaftarkan anak masing-masing yang sudah memasuki usia 14 tahun di bawah KWSP selaku pencarum.

“Walaupun setiap caruman yang dibuat tidak banyak tetapi jumlah terbabit pastinya akan terus bertambah jika dilakukan secara konsisten,” katanya ketika ditemui Harian Metro di reruai KWSP sempena Karnival Jom Heboh (KJH) Sabah 2024 yang berlangsung di Kompleks Sukan Likas, hari ini.

Sementara itu, seorang pengunjung reruai KWSP, Ahmad Jani Jenihi, 49, sudah lama mengetahui perkara ini namun baru berkesempatan membuka akaun buat anak kedua.

“Anak lelaki saya ini sudah mula melakukan kerja sambilan sejak di bangku sekolah menengah namun ketika itu saya belum ada pengetahuan tentang perkara ini.

“Selepas tamat persekolahan pula, dia terus melanjutkan pelajaran ke Akademi Perodua di Tanjung Malim.

“Syukurlah dengan adanya reruai KWSP di KJH ini, saya dapat membawa anak membuka akaun sekaligus membuat caruman pertama,” kata bapa kepada tiga cahaya mata terbabit.

Sementara itu, Ahmad Hafizi Ahmad Jani, 20, menyatakan bakal meneruskan usaha bapa yang membuka akaun KWSP bagi dirinya membuat caruman.

“Saya mahu melaksanakan simpanan di dalam akaun KWSP secara konsisten setiap bulan sebagai persedia hari tua kelak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top