Kyrgios beri bayangan bersara acara perseorangan

Kyrgios beri bayangan bersara acara perseorangan

Melbourne: Nick Kyrgios memberi bayangan kekalahan pada pusingan pertama di Terbuka Australia, semalam mungkin menandakan berakhirnya karier perseorangan di Grand Slam dekat tanah airnya sendiri.

Pemain berusia 29 tahun itu tewas 7-6 (3), 6-3, 7-6 (2) kepada pemain Great Britain, Jacob Fearnley, yang membuat penampilan pertama di kejohanan ini.

Selepas perlawanan, Kyrgios berkata dia cuba menikmati perlawanan itu kerana berasakan tidak akan bermain acara perseorangan lagi di Melbourne Park.

“Secara realistik, saya rasa saya tak nampak diri saya bermain acara perseorangan lagi di sini.

“Ia sesuatu yang istimewa. Saya cuba untuk menikmati suasana perlawanan itu. Saya tidak mahu menyerah begitu sahaja atau berundur di tengah-tengah perlawanan.

“Penyokong menunggu berjam-jam untuk melihat saya bermain, dan saya sangat menghormati lawan saya,” kata Kyrgios.

Kyrgios, yang terkenal dengan sifat sukar diramal serta personaliti berani, kembali beraksi selepas 18 bulan berehat akibat pembedahan pergelangan tangan dan lutut.

Bagaimanapun, beliau mengalami kecederaan abdomen sebelum kejohanan ini, yang jelas mempengaruhi prestasinya ketika bertemu Fearnley, yang berada di ranking ke-92 dunia.

Kekalahan terbaru itu adalah perlawanan perseorangan ketiga Kyrgios sejak Oktober 2022.

Walaupun prestasinya jatuh dalam acara perseorangan, dia masih bertekad untuk bermain menerusi acara beregu bersama Thanasi Kokkinakis, yang menyaksikan mereka memenangi gelaran beregu di Terbuka Australia 2022.

Kyrgios juga menyatakan hasrat untuk membuat impak di Wimbledon pada tahun ini sekiranya tubuh badannya pulih sepenuhnya.

“Wimbledon adalah sesuatu yang besar bagi saya. Jika badan saya rasa baik, saya rasa boleh memberi impak di sana. Tetapi buat masa sekarang, saya akan berehat dan fokus dalam acara beregu di sini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top