Brisbane: Pemain tenis Australia, Nick Kyrgios, bakal beraksi pada saingan Antarabangsa Brisbane bulan depan selepas menerima kemasukan sebagai wakil wildcard.
Menurut penganjur hari ini, bekas finalis Wimbledon itu berusaha membina momentum bagi kemungkinan kembali ke Terbuka Australia.
Pemain berusia 30 tahun itu bergelut dengan kecederaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dia hanya beraksi dalam lima perlawanan perseorangan sepanjang 2025, dengan penampilan terbaharu di Terbuka Miami pada Mac lalu.
Juara Antarabangsa Brisbane 2018 itu kini berada di ranking ke-673 dunia tanpa perlindungan ranking dan turut memerlukan wildcard sekiranya mahu beraksi di Melbourne Park.
Sebagai persiapan menghadapi Grand Slam pertama musim ini, Kyrgios dijadualkan beraksi pada kejohanan pertunjukan pemanas badan Klasik Kooyong di Melbourne.
Selain itu dia juga akan menyertai perlawanan battle of the sexes menentang pemain nombor satu dunia wanita, Aryna Sabalenka, di Dubai pada 28 Disember.
© New Straits Times Press (M) Bhd



