
Tun Faisal – Foto fail Sinar Harian
SHAH ALAM – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan tindakan Ahmad Fadhli Shaari yang didakwa ‘panas’ dan terasa hati dengan label ‘pekak’ disebut salah seorang pemimpin parti itu kerana menyangka ia ditujukan buat Pas.
Tun Faisal berkata, pihaknya percaya Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali cuma menyebut perkataan itu buat golongan yang mendakwa parti tersebut tidak mempunyai jentera pilihan raya, bukannya kepada Pas.
Sebaliknya, menurut beliau, ia mungkin ditujukan kepada individu-individu tertentu yang sengaja tidak mahu mendengar penjelasan pemimpin-pemimpin Bersatu sebelum ini.
Katanya lagi, perkataan ‘pekak’ juga mungkin ditujukan kepada pihak yang gagal menyampaikan maklumat tepat mengenai segala keputusan dibuat secara konsensus dalam Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN).
“Saya tak fikir ia ditujukan kepada Pas, mungkin kepada individu tertentu yang sengaja tidak mahu mendengar penjelasan pemimpin Bersatu.
“(Individu) yang gagal menyampaikan maklumat tepat mengenai keputusan dibuat dalam MT PN, yang menuduh dan memfitnah Bersatu dengan tuduhan berat.
“(Selain itu) yang menggunakan perkataan tidak sopan seperti ‘berambus’ dan (golongan) yang tidak amanah dalam melaksanakan janji. Tapi ia bukannya mengenai Pas,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Fadhli selaku Ketua Penerangan Pas yang mencadangkan bahawa sudah tiba masanya parti itu bergerak berasingan dengan Bersatu bagi menghadapi siri pilihan raya akan datang.
Ahmad Fadhli merujuk satu video tular ceramah Mohamed Azmin di Melaka baru-baru ini menyindir pihak yang mendakwa Bersatu tiada jentera pilihan raya sambil melabel golongan berkenaan sebagai ‘pekak’.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Bersatu hanya menuntut calon bagi pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN), tetapi tidak mempunyai jentera yang mencukupi untuk berkempen.



