Lagi antik lagi mahal

Lagi antik lagi mahal

surayaroslan@mediaprima.com.my

BAGI Anuar Laili Juli, 63, barangan lama bukan sekadar objek usang yang ditinggalkan masa.

Setiap satu ada cerita, nilai dan ‘jiwa’ tersendiri, mungkin sebab itu juga, selepas bersara daripada perniagaan, bapa tiga anak itu memilih untuk menyelami dunia antik secara serius sehingga mampu menjadikannya sumber pendapatan yang stabil.

“Mungkin sebab jiwa saya lain sikit, bila lihat barangan lama, perasaan saya tidak sama macam orang lain, rasa teruja dan tertarik,” katanya.

Bermula sebagai hobi, kini Anuar mengusahakan Galeri Antik KunoAn yang terletak di Taman Mutiara Bangi, Bandar Baru Bangi.

Galeri itu sebenarnya beroperasi dalam kawasan rumahnya dan sudah lebih 30 tahun berkembang, bermula di satu ruang kecil sebelum berpindah ke bahagian kiri rumah kerana jumlah koleksi yang semakin bertambah.

Hari ini, Anuar memiliki puluhan ribu barangan antik dengan kira-kira 75 peratus daripadanya untuk dijual, manakala selebihnya disimpan sebagai koleksi peribadi.

Akuinya, minat terhadap barangan antik bukan datang sekelip mata, ia terbina secara semula jadi, bermula sedikit demi sedikit.

“Dulu saya beli satu-satu saja. Lama-lama jadi banyak, yang penting kita perlu tahu nilai nak jual dan beli,” katanya.

Menurutnya, dia sanggup merantau ke seluruh negara untuk mencari barangan lama, dari Johor hingga ke negeri lain.

“Ada kalanya saya menerima panggilan daripada individu yang mahu menjual koleksi antik mereka, saya bergegas ke lokasi untuk menilai barangan itu seperti tidak sabar kerana ia sudah sebati dengan jiwa.

“Antara koleksi paling awal dimiliki ialah sebuah teropong kaki berusia lebih 100 tahun yang dibeli daripada seorang penjual di tepi jalan sekitar Bangi kira-kira 30 tahun lalu,” katanya.

Ditanya barangan koleksi antik paling berharga bagi dirinya, Anuar mengakui, baginya semua yang disimpan sangat berharga dan mempunyai nilai dan cerita tersendiri.

“Sukar untuk saya nyatakan apa koleksi paling berharga, sebab bagi saya semua berharga dan mempunyai cerita tersendiri,” katanya.

Anuar berkata, dia boleh berbelanja puluhan ribu untuk mendapatkan barangan antik, malah pernah membawa pulang koleksi besar menggunakan dua lori lima tan dari Johor.

Baginya, barangan antik boleh menjana pendapatan jika tahu caranya.

“Antik ini kalau pandai, memang boleh buat duit. Beli RM200, jual RM400. Lagi tua usia barang, lagi mahal nilainya,” jelasnya sambil memberi contoh kerusi gunting berusia 100 tahun yang kini bernilai RM3,500 ke atas.

Menurut Anuar, galeri miliknya sentiasa terbuka kepada pengunjung sama ada secara fizikal atau dalam talian.

“Pelanggan datang dari pelbagai latar belakang, ada peminat antik, pengumpul tegar, pasukan produksi untuk penggambaran, malah individu kenamaan.

“Terutama apabila bermula musim perayaan memang meriah, banyak barangan antik saya disewa untuk penggambaran gambar baju raya. Ada juga produksi filem yang sewa sehingga tiga bulan,” katanya.

Menurut Anuar, antara pelanggannta termasuk tokoh korporat, Datuk dan Tan Sri, malah Menteri Pertahanan Brunei juga pernah berkunjung ke galerinya.

Anuar turut berkongsi bahawa nilai barangan antik sangat luas bermula daripada setem bernilai RM1, sehingga yang mencecah ratusan ribu ringgit bergantung kepada usia, kondisi dan sejarahnya.

Urusan jual beli kini dibantu oleh dua anaknya, manakala Anuar bertindak sebagai ‘tukang cari barang, tukang cuci dan dekorasi’.

Dalam keseronokan berniaga, Anuar tidak menafikan wujud risiko daripada segi keselamatan.

“Pernah satu ketika, ada pelanggan datang ke rumah untuk menjual pasu lama bernilai RM1,000 tanpa saya mengetahui ia barangan curi.

“Saya hanya mengetahui selepas polis datang, nasib baik di kawasan rumah saya ada kamera litar tertutup dan akhirnya pencuri itu dapat dikesan dan ditangkap.

“Sebab itu kena berhati-hati, sekarang ada kamera, senang nak jejak,” katanya.

Bagi Anuar, dunia antik bukan sekadar perniagaan, ia adalah perjalanan jiwa yang menghidupkan semula sejarah sambil membina masa depan.

“Semua barang ada nilai, kita kena tahu harganya, baru kita beli,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top