anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 27,000 rakyat Malaysia ‘pendek nyawa’ atau mati muda setiap tahun akibat pelbagai penyakit berkaitan tembakau.
Ia berdasarkan dapatan kajian menunjukkan sebatang rokok yang dihisap boleh memendekkan jangka hayat manusia selama 20 minit.
Ketua Pasukan Bertindak Berhenti Merokok, Kluster Perubatan dan Kesihatan, Akademi Profesor Malaysia Prof Mohamad Haniki Nik Mohamed berkata, sekotak rokok berisi 20 batang rokok boleh memendekkan usia manusia selama 400 minit atau bersamaan hampir 7 jam.
“Bayangkan jika rokok dihisap berterusan selama setahun, maka individu terbabit akan kehilangan nyawa selama 101 hari setahun.
“Kebanyakan perokok menyedari bahawa merokok boleh memendekkan hayat mereka. Data jelas menunjukkan merokok boleh memendekkan nyawa hasil penilaian nisbah kemungkinan, nisbah risiko, nisbah bahaya, pecahan populasi, dan tahun hayat pelarasan kualiti.
“Berdasarkan kajian terkini daripada University College London, purata kehilangan jangka hayat bagi setiap batang rokok yang dihisap semakin meningkat setiap tahun.
“Berdasarkan jantina pula, sebatang rokok memendekkan jangka hayat lelaki sebanyak 22 minit dan wanita pula sebanyak 17 minit.
“Jumlah itu adalah hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding kajian pernah dilakukan oleh penyelidik dari University of Bristol pada tahun 2000.
“Sekiranya seorang perokok berhenti pada 1 Januari ini, mereka akan memanjangkan jangka hayat sebanyak 50 hari di penghujung tahun.
“Kajian dilakukan dengan mengambil data yang dikumpul sejak 1951 untuk lelaki dan 1996 untuk wanita,” katanya.
Mohamad Haniki berkata, menghisap rokok menyebabkan 27,000 kematian di Malaysia pada tahun 2023 berdasarkan laporan WHO.
“Dianggarkan 19 peratus penduduk Malaysia merokok pada tahun 2023 dan ini adalah lebih rendah berbanding 21.3 peratus pada tahun 2011.
“Data epidemiologi menunjukkan bahawa, semakin nyawa perokok akan lebih panjang jika mereka segera berhenti merokok.
“Perokok yang mula merokok pada usia muda lebih berpotensi terdedah kepada penyakit berkaitan merokok,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Haniki turut mengakui kecenderungan generasi muda kini menghisap rokok elektronik atau vape turut boleh menyumbang kepada isu sama.
Menurutnya, terdapat lebih 40 bahan kimia dalam cecair vape.
“Sesetengah daripada bahan kimia itu adalah sangat berbahaya kepada kesihatan dan berupaya untuk dilepaskan ke udara sekeliling serta memberi risiko kepada perokok pasif.
“Selain nikotin, antara kimia berbahaya lain terdapat di dalam cecair vape adalah asetaldehid, propilena glikol, plumbum, toluena, benzena dan pelbagai kimia memudaratkan lain,” katanya.
70 bahan kimia dalam rokok jadi punca kanser
Rokok tradisional termasuk vape menjadi penyumbang terbesar kepada penyakit kardiovaskular, serangan jantung, strok termasuk kanser di negara ini.
Lebih membimbangkan apabila Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mendapati penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun meningkat hampir 15 peratus pada 2022 berbanding 9.8 peratus pada tahun 2017 dan jumlah ini terus meningkat.
Doc Health Center dalam kenyataannya memaklumkan terdapat 7,000 bahan kimia di dalam rokok dan sebanyak 70 bahan yang dikenal pasti menjadi punca kanser.
Antara bahan-bahan utama rokok yang membahayakan adalah nikotin, tar, karbon monoksida dan arsenik, formaldehid, plumbum, benzena, kadmium, hidrogen sianida dan aseton.
“Nikotin antara bahan utama dalam rokok disahkan penyelidik sebagai penggalak pertumbuhan kanser selain punca ketagihan.
“Nikotin juga merosakkan saluran darah dan meningkatkan risiko penyempitan saluran darah, menyebabkan pening kepala, gangguan sistem pencernaan selain punca ulser perut,” katanya.
Selain itu, 60 bahan kimia di dalam tar turut menjadi punca kanser berikutan ia bersifat karsinogen (punca kanser).
“Apabila seorang perokok menghisap rokok, tar akan menghasilkan permukaan yang melekit pada dinding dalaman paru-paru. Ini akan menyebabkan kanser dan penyakit kronik pernafasan. Tar juga penyebab paru-paru menjadi hitam.
“Sementara itu, karbon monoksida adalah gas yang meningkat dalam darah apabila seseorang menghisap rokok.
“Sewaktu karbon monoksida memasuki dalam saluran darah, oksigen akan bercantum dengan gas ini sekaligus menyekat oksigen dari diserap ke dalam sel-sel tubuh. Ini menyebabkan perokok mudah letih, pening kepala, loya dan muntah.
“Manakala arsenik turut menjadi punca kanser paru-paru. kanser kulit kanser pundi kencing, kanser hati dan kanser buah pinggang.
“Kajian perubatan menunjukkan bahawa walaupun dalam jumlah yang sedikit arsenik boleh menyebabkan kematian akibat sekatan saluran darah dan penyakit jantung,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




