Lagi gengster ditembak mati di Kedah

Lagi gengster ditembak mati di Kedah

SUNGAI PETANI: Polis menembak mati seorang lagi penjenayah di Sidam Kiri, di sini dipercayai ada kaitan dengan dua rakannya yang ditumpaskan di Jitra, Kubang Pasu.

Lelaki tempatan berusia 34 tahun dan memiliki lebih 30 rekod jenayah lampau itu mati dalam kejadian berbalas tembakan di persimpangan jalan di Sidam Kiri, kira-kira pukul 7.50 malam tadi.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, anggota JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mengesan suspek di lokasi kejadian dan cuba menahannya.

“Suspek tidak memberikan kerjasama sebelum berlaku kejadian berbalas tembakan sehingga penjenayah berjaya ditumpaskan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, tengah malam tadi.

Suspek ditemukan maut dalam kereta jenis Toyota Camry dan pemeriksaan menemukan sepucuk senjata api serta beberapa barang kes lain.

Menurutnya, suspek berasal dari Perak dipercayai antara orang kanan dalam kumpulan berkenaan yang aktif melakukan pelbagai jenayah termasuk samun bersenjata api di seluruh semenanjung.

“Hasil risikan kita percaya suspek positif terlibat dalam tiga kes samun terbaharu iaitu di Melaka pada Disember, Nilai pada Mac dan terkini di Ipoh,” ujarnya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya percaya kumpulan itu aktif melakukan samun kedai emas sejak 2022 melibatkan kerugian hampir RM6 juta.

“Itu yang direkodkan, namun kita percaya ada banyak lagi kejadian samun melibatkan kilang, premis perniagaan dan kedai-kedai emas di kontinjen lain yang kita percaya ada hubung kait dengan kumpulan ini,” ujarnya.

Katanya, polis akan terus bertindak secara agresif bagi menangani kes jenayah melibatkan kekerasan terutama yang menggunakan senjata api sehingga mengakibatkan kematian dan kecederaan parah.

Terdahulu, dalam kejadian 8.05 pagi semalam, dua lelaki tempatan ditumpaskan sepasukan polis dalam kejadian berbalas tembakan di susur masuk Lebuhraya Utara-Selatan di Bandar Darul Aman, Jitra. -UTUSAN

Scroll to Top