am@hmetro.com.my
Melaka: Sebuah video tular memaparkan sebuah bas henti-henti dipercayai keluar dari simpang di kawasan garisan berkembar bandar Alor Gajah hingga mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain.
Video berdurasi 26 saat yang menunjukkan ‘bas pink’ itu keluar simpang menuju ke bulatan Alor Gajah dipercayai dirakamkan pengguna jalan raya jam 11 pagi semalam.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, pihaknya mengambil serius perkara itu dan mengeluarkan Notis Panggilan Temu Siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kepada pemilik syarikat bas berkenaan.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti sebarang kesalahan.
“Jika pemandu bas didapati bersalah mengabaikan arahan atau isyarat lalu-lintas, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 79 APJ 1987,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, sekiranya sabit kesalahan, pemandu boleh dikenakan denda antara RM300 hingga RM2,000.
Siti Zarina menegaskan JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang pihak yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu diminta supaya menyalurkan kepada JPJ atau pihak berkuasa terdekat,” katanya.
Minggu lalu media melaporkan pemandu ‘bas pink’ yang tular kerana aksi pemanduan zig-zag dan hampir mencetuskan kemalangan dengan sebuah Perodua Axia di Taman Angkasa Nuri.
Siasatan polis mendapati pemandu berada di bawah pengaruh dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar dilaporkan berkata, kejadian jam 8.25 pagi itu berlaku ketika kedua-dua kenderaan dari arah Bulatan Taman Angkasa Nuri menuju ke Jalan Industri Angkasa Nuri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




