hafidzul@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia dengan kesan lebam, bengkak dan luka di seluruh badan dipercayai di dera di Paya Jaras, di sini semalam.
Sebelum itu, kanak-kanak berkenaan dibawa ke Hospital Sungai Buloh oleh suami isteri berusia 27 dan 28 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafis Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kematian kanak-kanak berkenaan dari pegawai perubatan hospital terbabit pada jam 12.45 tengah malam.
“Doktor yang bertugas memaklumkan menerima pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri yang dibawa oleh pasangan berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati terdapat lebam, bengkak dan luka di seluruh badan selain kesan tompokan darah yang sudah kering di bahagian mulut dan hidung kanak-kanak berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, susulan laporan polis yang dibuat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh menahan pasangan berkenaan yang juga keluarga angkat mangsa.
“Hasil semakan lanjut mendapati kedua-dua individu berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Perintah permohonan reman akan dipohon esok di Mahkamah Shah Alam bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, mayat kanak-kanak berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Orang ramai yang menghubungi maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi talian hotline Balai Polis Saujana Utama di talian 03-6038 3322 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Aizad Abd Azik di talian 013-4861194,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd