'Lagu AI tak mampu ganti emosi penyanyi manusia' – Idayu

'Lagu AI tak mampu ganti emosi penyanyi manusia' – Idayu

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi Nur Farah Idayu Yaakob atau Idayu, 41, mendedahkan dia yang sudah dua dekad menceburi kerjaya seni pernah menerima banyak tawaran lagu yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Idayu yang mula menceburi bidang nyanyian menerusi Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) pada 2005 dan seterusnya dinobatkan juara Akademi Fantasia Megastar 2017, menyifatkan sukar baginya menerima tawaran lagu daripada AI berkenaan.

“Saya tidak nafikan ada juga mendapat lagu-lagu yang bagus ditawarkan oleh AI. Tetapi, untuk menyanyikannya saya berasa tidak sesuai kerana robot tiada perasaan dan emosi. Maka, alunan lagunya nanti pasti tidak kena dengan jiwa saya.

“Jadi, bagi saya biarlah terus berusaha menyanyikan lagu daripada sentuhan manusia kerana yakin lebih ada rasa dan emosi itu. Sebabnya, saya juga mendapati lagu dihasilkan oleh AI tidak mampu menggantikan ‘rasa’ atau emosi disampaikan seorang penyanyi,” katanya kepada Harian Metro.

Memiliki impian untuk lagu nyanyiannya dapat bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) suatu hari nanti, Idayu memaklumkan dia berharap lagu terbaharu, Mahal yang dirakam bersama juara Gegar Vaganza Musim Ke-12 (GV12), Iskandar Ismail bakal membuahkan hasil.

“Apa-apa pun, saya tidak menafikan perkembangan teknologi pada masa kini sangat memudahkan dan juga banyak membantu. Malah, ada juga idea daripada AI itu yang membuatkan saya terkejut kerana sangat hebat dan bagus.

“Kini, AI juga boleh menghasilkan karya yang komposer lama tidak mampu lakukan. Tetapi kekurangan utamanya tetap dari segi emosi dan rasa kerana AI tidak akan boleh memberi kita rasa dan emosi seperti diinginkan disebabkan ia robot,” katanya ketika ditemui di Redbox Karaoke, The Gardens, semalam.

Ujar Idayu yang berasal dari Kelantan ini lagi, kebanyakan komposer berpengalaman ditemuinya juga berkongsi pandangan sama bahawa AI tidak mampu memberi rasa dan emosi yang sudah lahir secara semula jadi dalam diri manusia.

“Percayalah, apabila saya tanya komposer lama seperti Helen Yap, semua cakap perkara yang sama. Sangat lain. Tetapi, apabila kita sudah mendapat demo daripada AI itu, harus mencuba adaptasi dengan baik.

“Maksudnya, kita boleh ambil idea-idea dikongsikan oleh AI tetapi untuk gubahan dalam lagu perlu dihasilkan juga dengan rasa serta emosi kita sebagai manusia. Maka, hasilnya mungkin boleh jadi lebih bagus,” katanya.

Sementara itu, lagu Mahal yang menjadi lagu tema (OST) drama Mencari Isteri Sempurna adalah hasil ciptaan Farouk Roman. Idayu mengakui kredibiliti komposer itu membuatkannya menerima pelawaan merakamkan lagu berkenaan secara duet bersama Iskandar dengan hati terbuka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top