najiy.jefri@hmetro.com.my
BAKAL tampil dengan lagu raya baharu, Raya Rumah Terbuka, penyanyi duo, AishaHanim berpendapat lagu Aidilfitri alaf moden juga mampu untuk kekal malar segar sekiranya kena dengan selera pendengar.
Aisha berkata, lagu raya baharu juga mempunyai keistimewaan khususnya dari segi elemen komposisi melodi dan lirik yang lebih moden serta menepati cita rasa pendengar muda.
“Memang kami sendiri suka mendengar lagu raya lama. Setiap kali Aidilfitri, lagu itu juga yang akan berkumandang. Tetapi, lagu raya baharu pun sedap-sedap belaka.
“Kami percaya, dunia muzik itu luas. Mungkin ada yang beranggapan sukar untuk lagu raya baharu menambat hati peminat, tetapi cita rasa pendengar sekarang sangat subjektif.
“Lagu ini juga adalah cara kami untuk meraikan kemeriahan Aidilfitri itu sendiri. Kami cuba membawa pendengar kembali ke zaman kanak-kanak ketika Aidilfitri disambut dengan penuh keriangan,” katanya.
Berkongsi cerita mengenai Raya Rumah Terbuka, Hanim berkata, lagu yang berkonsepkan irama kugiran disuntik dengan elemen tradisional itu ditulis oleh Omar K dan lirik oleh Hanis Rafi serta Firdaus Rahmat.
“Kami selesa bekerjasama dengan Omar K. Dia faham hala tuju muzik dan senang untuk berbincang. Raya Rumah Terbuka menggabungkan elemen tradisional dan kugiran serta lirik yang mengimbau nostalgia Aidilfitri.
“Untuk muzik video pula, kami teruja apabila mendapat tajaan daripada sahabat kami, Datuk Aliff Syukri di sebuah pusat penginapannya. Kami memang mahukan suasana kampung itu.
“Kami berharap bila peminat mendengar lagu ini, terus rasa teruja untuk menyambut lebaran dan meraikan kemeriahannya bersama keluarga,” kata penyanyi duo yang popular dengan lagu Angkara.
© New Straits Times Press (M) Bhd