'Lagu raya kena 'Trendy' ikut peredaran zaman' – AC Mizal

'Lagu raya kena 'Trendy' ikut peredaran zaman' – AC Mizal

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Dalam dunia hiburan, kita kena sentiasa ikut peredaran zaman. Itu perkara normal.”

Demikian kata pengacara dan penyanyi, Datuk AC Mizal, 54, mengenai kritikan sesetengah pihak yang mahu lagu raya baharu mengekalkan identiti lama tanpa mengikut trend semasa.

Menurut AC Mizal atau pemilik nama Mizal Zaini, sesuatu perubahan perlu dilakukan untuk memastikan karya-karya terbabit terus relevan dan difahami oleh generasi muda.

“Bila kita buat lagu, drama atau filem dan sebagainya, kita memang kena tahu trend semasa.

“Kita tak boleh buat lagu atau drama yang orang sekarang tak faham. Sebab mereka (generasi muda) ini yang akan membesar dan menjadi tua.

“Apabila mereka ingat lagu kita, barulah lagu itu akan berpanjangan. Dalam dunia hiburan, memang kena jadi ‘trendy’,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Mari Menari Raya, di sini, semalam.

Ahli kumpulan 4U2C yang sudah 36 tahun berkecimpung dalam industri hiburan tanah air ini berkata, tiada istilah salah atau haram dalam menghasilkan sesebuah lagu.

“Tak guna kita buat benda lama kalau orang tak boleh terima. Walaupun awak ada nama sekali pun, jika buat sesuatu yang tak sesuai dengan zaman sekarang, apa gunanya? Lebih baik tak buat apa-apa.

“Tapi, bila orang lama cuba buat benda baru, itu sesuatu yang bagus. Barulah industri hiburan kita terus hidup,” katanya.

Dalam perkembangan lain, AC Mizal melancarkan lagu raya baharunya Mari Menari Raya bersama ratu pop Healing Asia, JessC yang menggabungkan muzik pop moden dengan hip-hop serta elemen perayaan tradisional Melayu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top