Kuala Lumpur: Lagu berjudul Anta Permana yang dipopularkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dilaporkan menjadi salah satu karya pilihan Raja Britain, Raja Charles III.
Lagu ikonik berkenaan berada dalam senarai lagu kegemaran baginda sempena sambutan Hari Negara-Negara Komanwel.
Ia turut dikongsikan secara eksklusif di media sosial The Royal Family baginda.
Senarai lagu-lagu pilihan Raja Charles III dikumpulkan khas di platform Apple Music dengan tajuk His Majesty King Charles III’s Playlist, yang menampilkan gabungan muzik dari seluruh dunia.
Senarai 17 lagu berdurasi satu jam sepuluh minit itu turut disertai beberapa nama selebriti terkenal dunia antaranya Diva Pop Diana Ross, Bob Marley yang popular menerusi muzik reggae, legenda muzik Grace Jones serta sensasi Britain yang sedang meningkat naik, Raye.
Selain Beyonce, Kylie Minogue, Michael Buble dan banyak lagi.
“Saya mahu berkongsi dengan anda lagu-lagu yang membawa kebahagiaan dalam hidup saya. Lagu-lagu ini merangkumi pelbagai gaya dan budaya yang berbeza.
“Namun, seperti keluarga negara-negara Komanwel yang makmur, mereka, dalam cara yang tersendiri, berkongsi kecintaan yang sama terhadap kehidupan, dalam segala keindahan dan keharmonian beragama,” menurut Raja Charles III.
© New Straits Times Press (M) Bhd




