Lahir tanpa rahim, wanita syukur timang cahaya mata sulung

Lahir tanpa rahim, wanita syukur timang cahaya mata sulung

London: Seorang wanita di Kent, United Kingdom (UK) menjadi ibu pertama di negara itu yang melahirkan seorang bayi selepas menerima pemindahan rahim daripada penderma yang meninggal dunia, lapor Metro UK.

Seorang pengurus program teknologi maklumat (IT), Grace Bell, 30-an, dilahirkan dengan sindrom Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser (MRKH), di mana rahimnya tidak berkembang sepenuhnya atau tiada langsung, sekali gus tidak pernah menyangka dia akan mampu mempunyai anak.

Anaknya, Hugo Powell, dilahirkan pada Disember tahun lalu di Queen Charlotte’s and Chelsea Hospital dengan berat 3.09 kilogram (kg).

Grace didiagnosis dengan MRKH pada usia 16 tahun dan mengingati dirinya menangis tanpa kawalan selepas diberitahu oleh doktor bahawa dia tiada rahim.

Apabila bertemu pasangannya, Steve Powell, 30-an, dia memberitahu diagnosis itu serta-merta dan pasangan itu pada awalnya merancang untuk mendapatkan anak menerusi kaedah ‘ibu tumpang’ sebelum menyertai program pemindahan rahim bersama Womb Transplant UK.

Selepas beberapa tahun dalam program itu, Grace menerima khabar akan menerima pemindahan rahim. Pada 2024, dia menjalani pembedahan lebih tujuh jam di Pusat Pemindahan Oxford sebelum memulakan rawatan kesuburan peribadi.

Dia menggambarkan detik mengetahui dirinya hamil sebagai ‘wanita paling bertuah di dunia’ dan impiannya untuk mengalami kehamilan akhirnya tercapai.

Hugo dilahirkan melalui pembedahan Caesarean (C-section).

Pasangan itu mungkin akan mempertimbangkan anak kedua, dan selepas itu rahim yang dipindahkan akan dikeluarkan bagi mengelakkan keperluan mengambil ubat imunosupresif sepanjang hayat.

Dalam pada itu, Grace juga menyifatkan, pendermaan rahim itu sebagai ‘memberi nyawa’ dan melahirkan penghargaan mendalam terhadap penderma serta keluarganya.

Sehingga kini, antara 25 hingga 30 bayi sudah lahir di seluruh dunia hasil pendermaan rahim daripada penderma yang meninggal dunia, dengan Hugo menjadi yang pertama di UK.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top