am@hmetro.com.my
Bukit Kayu Hitam: Cubaan enam lelaki warga India mengaburi pihak berkuasa masuk ke negara ini kononnya tidak mengenali antara satu sama lain gagal apabila pemeriksaan mendapati tiket penerbangan mereka mempunyai masa dan tarikh yang sama.
Mereka adalah antara tujuh individu yang ditolak kemasukan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam, semalam.
Penolakan masuk itu adalah hasil pemeriksaan dan tapisan ketat yang dilakukan oleh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasarudin M Nasir berkata, mereka ditolak kemasukan ke negara ini selepas gagal mengemukakan tujuan perjalanan yang sahih dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka memiliki tiket penerbangan yang tidak sah.
Beliau berkata, kumpulan warga India itu cuba mengelirukan pegawai imigresen dengan mendakwa tidak saling mengenali antara satu sama lain, namun siasatan mendapati mereka mempunyai tiket penerbangan yang sama dari segi tarikh dan masa.
“Dalam pada itu, seorang wanita warganegara Kemboja telah ditolak kemasukan ke Malaysia selepas didapati gagal mematuhi syarat kemasukan yang ditetapkan.
“Hasil soal siasat mendapati individu itu memberikan maklumat yang meragukan dan tidak konsisten kepada pegawai imigresen, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Nasarudin berkata, semua individu terbabit telah dikeluarkan Notis Penolakan Masuk selaras dengan peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa dan tindakan selanjutnya sudah pun diambil mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Beliau berkata, AKPS Bukit Kayu Hitam menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara.
© New Straits Times Press (M) Bhd



