Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui beban tugasnya kini semakin berat apabila dilantik sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) sambil kekal sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS.
Masih pegang jentera PAS
Memetik laporan daripada Berita Harian, beliau menyatakan peranan baharu itu memerlukan beliau memastikan pengurusan kewangan PN berjalan lancar selain menyediakan dana mencukupi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Mereka suruh saya jaga duit jadi saya nak buat audit akaun PN dulu untuk pastikan apa yang kita ada sebelum mula bekerja dan kita nak menguruskan kewangan dalam keadaan paling baik.
“Saya masih Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, di PN sahaja bendahari. Jadi saya kena buat dua kerja, mereka kata ringan jadi bendahari, mana ada ringan, makin berat ada. Jentera PAS masih saya pegang, jadi dua kerja saya kena buat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman, hari ini.
Akan urus amanah sebaiknya
Mengulas lanjut, Sanusi berkata keutamaan kini adalah memastikan jentera parti komponen dapat bergerak dengan baik walaupun dalam keadaan dana yang terhad.
Katanya, kebanyakan dana PN datang daripada sumbangan orang ramai dan perlu diuruskan sebaiknya sebagai amanah parti.
“Jadi untuk itu marilah kita semua menyumbang kepada PN untuk menghadapi PRU16. Saya pernah cakap ketika Muktamar PAS, satu kerusi Parlimen kita perlu kos operasi sekurang-kurangnya RM1 juta, tapi mereka kata tak betul.
“Jangan tak mahu mengaku pula, saya dengar dari rakan parti lain mereka belanja hingga RM6 juta untuk satu kerusi DUN, ini saya anggar RM1 juta untuk kerusi Parlimen yang ada dua, tiga, empat kerusi DUN.
“Mereka kata tak boleh belanja lebih RM100,000 setiap kerusi, dulu mungkin boleh buat tapi sekarang kos bahan pilihan raya makin mahal, cuma kita tak belanja dalam bentuk tunai, kita belanja dalam bentuk tenaga kerja sukarela yang nilainya sama,” katanya.

Artikel lain: Rombakan PN: Ketua pembangkang dari PAS, Muhyiddin, Azmin & Sanusi ‘turun pangkat’
Terdahulu, Pengerusi PN Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin kini mengambil alih peranan sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, manakala jawatan Bendahari Agung disandang oleh Sanusi.




