am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Isu kedaifan laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan mendapat perhatian serius kerajaan menerusi pelaksanaan projek naik taraf bernilai RM20 juta yang dijangka siap sepenuhnya pada Ogos hadapan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataannya memaklumkan bahawa projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor itu kini sudah mencapai kemajuan lebih 43 peratus.
Menurutnya, inisiatif penambahbaikan berkenaan bakal memberi manfaat dan jaminan keselesaan kepada lebih 34,000 pengguna laluan itu setiap hari.
Beliau berkata, laluan motosikal antara tertua dan terpanjang di Malaysia yang dibina pada era 1970-an itu dinaik taraf berikutan ia kini melebihi kapasiti penggunaan.
Tambahnya, langkah itu juga bertujuan menangani masalah banjir kilat yang sering membelenggu penunggang di kawasan terbabit pada musim tengkujuh.
Mengulas mengenai rungutan awam berhubung permukaan jalan yang masih belum diturap, Alexander menjelaskan bahawa kerja-kerja penurapan adalah fasa terakhir dalam projek berkenaan.
“Sekarang ini kita buat longkang dan ia sangat penting kerana di laluan ini ada kawasan berbahaya atau black spot, berlakunya banjir semasa musim tengkujuh,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pelaksanaan projek itu membabitkan jajaran dua hala merangkumi daerah Klang sepanjang tujuh kilometer dan daerah Petaling sepanjang 4 kilometer.
Skop projek berkenaan meliputi kerja baik pulih permukaan jalan, pembaikan kawasan terowong, menaik taraf sistem saliran serta membaik pulih longkang sedia ada.
Sebanyak RM6 juta daripada jumlah peruntukan itu turut dikhususkan bagi pemasangan lampu jalan jenis Integrated Solar LED (ISLED) bagi mencerahkan laluan terbabit.
Pihak kementerian amat berharap pengguna motosikal akan kembali menggunakan kemudahan khas itu dan tidak lagi masuk ke jalan utama sebaik sahaja kerja naik taraf ini selesai kelak.
Selain itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) juga dilaporkan sedang meneliti dan mengenal pasti beberapa laluan motosikal lain di sekitar bandar raya yang memerlukan peruntukan untuk dinaik taraf pada masa akan datang.
Penunggang motosikal terdedah ancaman bahaya setiap hari
© New Straits Times Press (M) Bhd




