SIRI 2
puterialia@hmetro.com.my
SEBELUM mencipta nama sebagai anak seni, pelakon veteran Datuk Fauziah Nawi bermula sebagai seorang penari dan aktif membintangi pementasan teater.
Menurut Fauziah, 73, perjalanan dunia seninya berkembang apabila beliau menyertai pertandingan Bintang RTM sebelum mendapat peluang untuk berlakon di kaca televisyen menerusi drama Tahan Kinabalu pada 1973.
Berkongsi perjalanan kerjaya seninya, Fauziah atau mesra disapa Ibu berkata, laluan seni yang terbentang luas membuatkannya mengambil dan melakukan sahaja apa jua peluang yang ada ketika itu.
Bagaimanapun, Fauziah menegaskan proses pembelajarannya tidak pernah berhenti di situ sahaja, malah beliau sentiasa mengikuti pelbagai kelas bagi memantapkan ilmu dan kemahiran seninya.
Sepanjang membabitkan diri dalam bidang seni, Fauziah turut berkongsi, beliau tidak pernah meninggalkan kerjaya hakiki sebagai penjawat awam dan sentiasa bekerja keras mencari rezeki.
Fauziah yang menceburkan diri secara sepenuh masa dalam dunia lakonan selepas bersara daripada perkhidmatan awam apabila bertugas sebagai penyiar selama 20 tahun.
Menurutnya, kerjaya penyiar bermula pada 1976 di Radio Televisyen Malaysia (RTM), khususnya di saluran seperti Radio 4, Radio 3 Ibu Kota dan Radio 1.
Antara program ikonik yang pernah dikendalikan beliau termasuk Morning Show, Your Host, Non Stop Music, Before We Say Good Nite, Fascinating Malaysia dan Manis-Manis Garam.
Fauziah berkata, pembabitannya dalam dunia seni dilakukan hanya selepas waktu pejabat kerana sentiasa memastikan dirinya mempunyai pekerjaan tetap.
Malah, sebelum bergelar penyiar, beliau berpengalaman melakukan pelbagai pekerjaan termasuk sebagai pengendali teleks, operator, selain pernah bekerja di Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd.
Selain itu, Fauziah turut berkhidmat di pelbagai lokasi penting termasuk di Parlimen, Istana Negara, Jabatan Penjara Malaysia serta Kementerian Penerangan yang kini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi.
“Saya memang tidak pernah tidak kerja. Saya buat kerja seni ini selepas hari kerja, jadi saya sentiasa bekerja. Bila saya sudah pencen, baru saya jadikan ia sebagai pekerjaan sepenuh masa,” katanya.
Berkongsi mengenai satu momen yang tidak akan pernah dilupakan sepanjang bergelar anak seni ialah pembabitannya dalam drama Tahan Kinabalu.
Menurutnya, projek terbabit adalah titik permulaan namanya mula dikenali di kaca televisyen.
Bagaimanapun, setiap yang bergelar anak seni pasti mempunyai cabaran.
Meniti usia pembabitan seni hampir lima dekad, Fauziah mendedahkan cabaran terbesar yang dihadapi sebagai anak seni apabila berdepan masalah kewangan dan ketiadaan tawaran berlakon.
Berhubung isu kadar bayaran lakonan, Fauziah menyifatkan bayaran pada awal pembabitannya jauh berbeza berbanding zaman sekarang.
Fauziah yang ketika itu adalah pelakon baharu dengan drama pertama lakonannya di RTM berjudul Tahan Kinabalu hanya dibayar sebanyak RM180.
Menurutnya, proses penggambaran pada waktu itu mengambil masa yang panjang merangkumi empat hari latihan, satu hari penggambaran di dalam studio dan satu hari penggambaran di luar, termasuk sesi bacaan skrip dan latihan.
“Ketika itu nak dapat RM180 pun kena tunggu lima ke enam bulan. Tetapi sekarang sudah lain pula, sekarang saya akan minta (bayaran pendahuluan) 50 peratus ataupun saya akan minta ‘booking fees’.
“Jadi pada Ibu, dia ikut zaman, mungkin RM180 zaman itu nilainya besar kalau nak dibandingkan dengan zaman sekarang,” katanya lagi.
Fauziah berkata, disebabkan itu beliau sentiasa mengutamakan kerjaya tetap sebagai pelan sandaran, selain perlu melalui proses tawar-menawar harga yang diakuinya melecehkan.
Menurutnya, ia amat berbeza dengan pengurusan artis masa kini yang sudah mempunyai pengurus peribadi berbanding zaman dahulu yang perlu menguruskan segala urusan sendiri mengikut budi bicara.
Katanya, pembabitannya dalam dunia seni didorong atas dasar minat yang mendalam dan tidak pernah meletakkan harga tinggi kerana mempunyai kerjaya tetap serta gaji bulanan meskipun nilainya tidak sebesar mana.
“Pada saya, saya rasa seronok. Sebab itu zaman dulu saya tidak pernah nak letak harga sebab saya buat seni ini sebab saya suka.
“Saya sudah ada satu kerja lain (tetap) yang mempunyai gaji bulanan walaupun tidak sebesar mana,” kongsinya.
ESOK: Tidak akan letak titik noktah dalam dunia seni.
© New Straits Times Press (M) Bhd




