am@hmetro.com.my
Kuala Berang: Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) yang dinaiki pasangan bakal berkahwin terhumban ke dalam gaung sedalam 200 kaki mengakibatkan kedua-duanya maut di Kilometer (km) 52 Jalan Kuala Jeneris – Sg Gawi – Aring (Bukit Kawah), petang tadi.
Dalam kemalangan itu pemandu MPV, Hassan Shazali, 52, seorang guru dan pasangannya, pekerja kantin Suzaimah Che Azis, 34, maut di tempat kejadian.
Pasangan itu difahamkan akan berkahwin pada 25 Disember ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, maklumat diterima mengenai kejadian kemalangan jalan raya di kawasan yang ditutup laluannya pada jam 5.30 petang.
Menurutnya, kemalangan membabitkan MPV yang difahamkan terbabas ke dalam gaung dan dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu adalah guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir, dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu ke rumahnya di Gua Musang, Kelantan.
“Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dari arah Hulu Terengganu menghala ke arah Gua Musang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa melalui jalan yang ditutup akibat tanah runtuh dan kenderaan mangsa terbabas jatuh ke dalam gaung sedalam 200 kaki.
“Sementara itu, Suzaimah tercampak keluar daripada kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Katanya, kedua-dua mayat dibawa ke Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat.
Beliau berkata, kejadian berlaku di jalan Persekutuan manakala permukaan jalan tidak rata dan ditutup kepada semua kenderaan berikutan kawasan tanah runtuh dan kejadian berlaku pada waktu siang dalam keadaan cuaca baik.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




