am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling di sini, hari ini, mengalami gangguan selepas sebuah tren tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin.
Kejadian itu disebabkan kerosakan suis landasan namun seramai 25 penumpang di dalam tren berkenaan selamat.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan berkata, gangguan itu menyebabkan sebuah tren tidak dapat bergerak dan menjejaskan jadual perjalanan di laluan berkenaan.
Menurutnya, semua 25 penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat mengikut prosedur operasi ditetapkan dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Pasukan teknikal kini berada di lokasi untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan bagi memulihkan operasi,” katanya hari ini.
Kenyataan itu berkata, perkhidmatan tren alternatif sudah diaktifkan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan.
Antara perkhidmatan disediakan ialah tren dari Sentul Timur yang akan berpatah balik di Stesen Pudu dengan kekerapan empat minit.
Selain itu, tren perantara antara Stesen Cheras dan Bandar Tasik Selatan di platform 1 dengan kekerapan lapan minit serta tren perantara di antara Stesen Ampang dan Pandan Jaya di platform 1 dengan kekerapan lima minit.
Tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Bandar Tasik Selatan dengan kekerapan empat minit serta bas perantara percuma disediakan antara Stesen Pudu ke Cheras dan Pandan Jaya bagi memudahkan penumpang meneruskan perjalanan.
“Penumpang yang mahu ke pusat bandar dinasihatkan menggunakan perkhidmatan tren laluan Putrajaya dengan pertukaran tren di Stesen Sungai Besi,” katanya.
Selain itu, penumpang boleh mendapatkan bantuan petugas stesen sepanjang tempoh gangguan dan maklumat terkini boleh diperoleh melalui media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa hantaran memaparkan pengguna terpaksa diturunkan dari tren dan berjalan di trek untuk proses pemindahan dijalankan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




