Laluan berliku ujian sukar buat Aisyah

Laluan berliku ujian sukar buat Aisyah

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Impian untuk melihat pelumba tunggal lebuh raya wanita di Sukan Olimpik Paris 2024 menghabiskan perlumbaan esok sangat berliku terutama laluan yang ditawarkan tuan rumah ibarat perlumbaan klasik satu hari atau monumen seperti Tour Flanders, Paris-Roubix dan Liege-Bastogne-Liege.

Menurut jurulatihnya, Amir Mustafa Rusli semua perkara itu sudah dikaji berdasarkan latihan rasmi yang dilalui oleh Nur Aisyah Zubair baru-baru ini termasuk dari segi pendakian, laluan permukaan batu bersimen dan selekoh sempit.

“Ada satu kilometer (km) pendakian pada pusingan kedua atau ketiga ketika memasuki bandar Paris, sebelum melintasi garisan penamat. Satu pusingan pula dianggarkan 18.4km, ditambah pula ia bukan permukaan jalan biasa, batu bersimen,” kata bekas pelumba kebangsaan itu.

Ujar Amir, ia bukan sahaja sukar buat Aisyah malah semua pelumba lain termasuk ketika menuruni bukit yang banyak selekoh sempit.

“Bila mereka menuruni bukit pada 5km terakhir ada banyak selekoh ia sama seperti perlumbaan di Belgium laluan batu bersimen dan selekoh yang teknikal. Bagaimanapun, nampak dia sudah bersedia dengan semua cabaran itu.

“Sebab itulah pada perlumbaan untuk persiapannya sebelum ini kami mencari laluan seakan di Paris 2024. Perlumbaan satu hari di mana Aisyah berjaya menaiki podium sebanyak dua kali, satu di Belanda dan satu lagi di Belgium,” kata Amir yang mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan lebuh raya di London 2012.

Tambahnya, berjaya menamatkan perlumbaan dan menaiki podium ketika persiapan sebelum ini yang membabitkan 10 perlumbaan di kedua-dua negara itu adalah perkara positif dipamerkan anak buahnya.

“Jarang pelumba Asia mampu menghabiskan perlumbaan di Eropah,” katanya yang bakal berkongsi kereta pasukan ketika perlumbaan bersama dua lagi negara lain iaitu dari Lithunia dan Namibia.

Amir yang menjangkakan perlumbaan bakal berakhir dengan penamat solo mengakui Aisyah bakal menggunakan basikal keluaraan Amerika Syarikat, S-Works.

Antara pelumba sensasi wanita yang bakal menyertai perlumbaan esok ialah Lotte Kopecky (Belgium), Elisa Longo Borghini (Itali), Demi Vollering (Belanda) dan Anna Kiesenhofer (Austria).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top