am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Laluan kontra bagi kenderaan keluar dari Malaysia ke Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) akan bermula minggu depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pelaksanaan itu akan menambah jumlah kaunter terbabit daripada 24 kepada 36 kaunter, sekali gus membantu penyuraian trafik di laluan darat antara kedua-dua negara melalui Linkedua.
Beliau berkata, di KSAB terdapat 24 kaunter keluar (menuju Singapura) dan 24 kaunter masuk (menuju Malaysia).
“Apabila kita aktifkan laluan kontra, bermaksud kita menambah 12 lagi laluan keluar menjadikan keseluruhan 36 kaunter iaitu pertambahan sebanyak 50 peratus.
“Ini antara cadangan yang dilontarkan pihak kerajaan Johor ketika waktu puncak, bagi memudahkan perjalanan dan juga mengurangkan kesesakan.
“Waktu puncak laluan kontra kaunter keluar ialah Ahad, bila rakyat Singapura mahu pulang ke negara mereka, berbeza dengan waktu puncak kaunter masuk iaitu Jumaat atau Sabtu.
“Oleh itu, pelaksanaan laluan kontra ini tidak menjadi masalah,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di CIQ KSAB di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Mengenai perkhidmatan sistem kawalan Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) dan Caj Jalan (RC) di laluan kontra berkenaan, Loke berkata pelaksanaan secara mobil akan diguna pakai buat jangka pendek, sebelum perkhidmatan kekal mula beroperasi selewat-lewatnya akhir penggal keempat tahun ini.
“VEP dan RC sangat penting untuk menyimpan data kenderaan keluar negara melalui laluan berdaftar. Jadi kaedah mobil cara terbaik untuk kita selesaikan isu ini, kerana buat masa ini laluan kontra keluar tidak lagi mempunyai sistem kekal.
“Apa yang diperlukan bagi pelaksanaan laluan kontra ini ialah kelulusan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT), jawapannya, kita benarkan dengan syarat isu teknikal selesai (kaedah mobil di laluan kontra keluar),” katanya.
Sementara itu, Mohamad Fazli berkata, kerajaan negeri berterima kasih kepada MOT kerana membenarkan pelaksanaan laluan kontra keluar dilaksana di KSAB.
© New Straits Times Press (M) Bhd




