am@hmetro.com.my
Kepala Batas: Kemalangan yang kerap berlaku di Jalan Pasir Gebu meghala pekan Penaga di sini,bukan hanya mengundang kebimbangan penduduk setempat, bahkan risiko terhadap pengguna laluan itu.
Penduduk mendakwa kali terakhir kemalangan jalan raya berlaku di situ pada April lalu yang menyebabkan mereka berasa tidak selamat selain tertekan menghadapi kesesakan lalu lintas.
Amilia Mansor, 40, yang berniaga kuih di kawasan berkenaan berkata, dia pernah menyaksikan kemalangan berlaku di depan mata dengan ada mangsa maut di lokasi.
“Ada orang kata salah satu punca kemalangan sebab peniaga tepi jalan yang menyebabkan kenderaan banyak berhenti dan ganggu lalu lintas.
“Tetapi saya tengok, apabila saya tidak berniaga pun, keadaan sama juga… mesti ada sahaja berita kemalangan disiarkan di platform media sosial kampung ini.
“Terfikir juga di mana puncanya sebab kerap sangat (kemalangan) sampai naik takut pula nak guna jalan ini,” katanya ketika ditemui.
Amilia berpandangan, sikap terburu-buru segelintir pemandu antara punca kemalangan kerap berlaku, namun dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan bagi mengurangkan risiko kemalangan.
“Dekat sini banyak kereta suka bawa laju sedangkan jalan ini sesak kerana banyak premis perniagaan dan komersial berdekatan, selain ada pusat pelancongan yang menjadi tumpuan orang ramai.
“Penunggang motosikal pun sama, malah ada yang menunggang tidak pakai topi keledar lagi kerana anggap kawasan kampung.
“Faktor-faktor ini secara tidak langsung menyumbang kepada kemalangan,” katanya yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan segera untuk memastikan keselamatan semua pihak terjamin dan trafik lebih lancar.
Bagi penduduk, Ahmad Fitri, 50, kepadatan penduduk dengan pembinaan taman perumahan yang semakin banyak menjadikan lalu lintas di kawasan Penaga begitu sesak terutama pada waktu puncak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




