Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan telah bercerai dengan suaminya Ramachandran Muniandy selepas 18 tahun mendirikan rumah tangga.
Perkara itu dinyatakan menerusi laman web rasmi Ahli Parlimen Segambut berkenaan yang turut memaparkan latar belakang kehidupan peribadinya.

Menurut maklumat di laman tersebut, Yeoh berkahwin dengan Ramachandran pada 2008, tidak lama sebelum beliau memulakan perjalanan dalam arena politik.
Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan dua cahaya mata, Shay dan Kayleigh yang dilahirkan masing-masing pada 2011 dan 2013.

Maklumat di laman web tersebut turut menyatakan bahawa pasangan itu menamatkan perkahwinan mereka pada tahun ini selepas 18 tahun bersama.
Untuk rekod, Hannah mula menjadi Ahli Parlimen Segambut selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.


Sebelum itu, beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya selama dua penggal bermula 2008 hingga 2018.
Pada 2013, beliau mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor.

Dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan, Hannah pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 2018 hingga 2020.
Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan bagi tempoh 2022 hingga 2025 sebelum mengambil alih portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) pada Disember tahun lalu.

Dalam parti pula, Hannah kini memegang beberapa jawatan penting dalam DAP termasuk sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan, Timbalan Setiausaha Agung serta anggota jawatankuasa DAP Wanita.
Sumber: hannahyeoh.com

