amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) mendedahkan lebih 50 negara menjadi penyumbang kepada lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia.
Pengerusi MCCF, Datuk Seri Halim Ishak berkata, ia sekali gus mewujudkan kebimbangan berhubung nasib anak-anak PATI yang lahir tanpa dokumen sah dan tiada kewarganegaraan.
Beliau berkata, isu itu bukan perkara baharu sebaliknya sudah berlaku sejak awal 2000 namun sudah memasuki 2025 sehingga kini kerajaan masih gagal menanganinya dengan berkesan.
“Masalah berangkai paling membimbangkan saya adalah lambakan anak-anak PATI yang tiada dokumen dan status kewarganegaraan.
“Kumpulan ini semakin lama akan semakin ramai yang akan menjadi masalah besar di masa hadapan,” katanya.
Menurutnya, MCCF menjalankan kajian penyelidikan dan mendokumentasikan warga asing serta PATI sejak 2015 menerusi program Kebajikan Warga Perantau yang merekodkan taburan serta jumlah mereka di seluruh negara.
Katanya, program berkenaan sebelum ini turut mendapat sokongan penuh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada ketika itu.
“Ketika negara dilanda COVID-19, MCCF membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan petugas COVID-19 dengan menyalurkan data butiran dan taburan hampir 75,000 PATI berdaftar bagi membantu kerajaan mengawal penularan wabak,” katanya.
Halim berkata, hasil penyelidikan MCCF juga mendapati punca utama lambakan warga asing adalah disebabkan salah guna kuasa dan rasuah segelintir pegawai agensi kerajaan yang mengkhianati amanah menjaga keselamatan negara.
Beliau berkata, MCCF sudah beberapa kali menawarkan kerjasama kepada KDN dan agensi kerajaan lain bagi mengurus isu PATI, namun tidak mendapat maklum balas sehingga kini.
“Sebahagian besar PATI di negara ini adalah pelarian ekonomi, bukannya pelarian perang. Ini yang menyumbang kepada lambakan besar,” katanya.
r
© New Straits Times Press (M) Bhd




