Lampu hijau buat inDrive, fokus bantu pemandu dan perluas mobiliti inklusif

Lampu hijau buat inDrive, fokus bantu pemandu dan perluas mobiliti inklusif

PLATFORM e-hailing global, inDrive kini sah untuk meneruskan operasinya di negara ini selepas menerima pengesahan rasmi daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), susulan tamatnya proses semakan semula.

Ketua inDrive Malaysia, Govin Kumaar berkata, kelulusan itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat tersebut terhadap pematuhan peraturan, penetapan harga yang adil dan mobiliti lebih inklusif.

“Kami berterima kasih kepada MOT dan APAD atas kepercayaan ini. Ia bukan sahaja membolehkan kami terus beroperasi, malah menyokong ribuan pemandu tempatan yang bergantung kepada inDrive untuk menjana pendapatan.

“Dengan kadar komisen antara terendah dalam industri iaitu 85 hingga 90 peratus daripada pendapatan disalurkan terus kepada pemandu, kami bantu mereka menyara keluarga dan meningkatkan taraf hidup,” katanya.

Menurutnya, semua pemandu di platform itu diwajibkan mempunyai Permit Kenderaan E-Hailing (EVP), Lesen Memandu Kenderaan Awam (PSV) dan perlindungan insurans e-hailing yang sah.

“Proses pengesahan dokumen turut diperketat menerusi sistem semakan dalaman yang kini diperkuatkan dengan kerjasama APAD.

“Model operasi inDrive yang membenarkan pemandu dan penumpang berunding kadar tambang secara terus itu disifatkan sebagai penyelesaian berimpak tinggi, bukan sahaja di Malaysia, malah di lebih 47 negara lain,” ujarnya.

Tambah Govin, inisiatif terbaharu turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pendaftaran dan pengesahan semula pemandu, sekali gus memastikan pematuhan terhadap syarat keselamatan dan lesen terkini.

Selain itu, proses audit dalaman turut diperketat bagi memastikan dokumen pemandu sentiasa dikemas kini, manakala platform pembelajaran dalam talian ‘inDrive Academy’ disediakan bagi membantu pemandu meningkatkan mutu perkhidmatan.

Sementara itu, Pengarah APAC inDrive, Mark Tolley berkata, pihaknya akan memperkenalkan inisiatif khusus untuk meningkatkan akses mobiliti dalam kalangan orang kurang upaya, selaras dengan komitmen terhadap keadilan sosial.

“Kami percaya semua individu berhak mendapat akses yang adil. Justeru, inDrive beriltizam untuk terus berkembang dalam pasaran strategik dengan memperkenalkan inisiatif yang mengutamakan inovasi, keterangkuman dan kerjasama bersama pihak berkepentingan.

“Persaingan sihat dalam sektor e-hailing bukan sahaja mendorong inovasi, malah menyediakan lebih banyak pilihan kepada rakyat dalam cara mereka bergerak, bekerja dan menjana pendapatan,” katanya.

 

Scroll to Top